Engkilili
Sarawak Bumi Kenyalang
Pelancongan
Indeks Artikel
Pelancongan
Kemas kini: 28 Sept 2009
Artikel Asal
Semua Halaman

 

alt

Misteri Batu Nabau Belum Terungkai

Kewujudan batu yang menyerupai ular gergasi ini sudah tidak asing lagi bagi penduduk Rumah Nyalau Muang, Bukong di mana lokasi Batu Nabau hanya terletak kira-kira 50 meter dari kawasan rumah panjang tersebut. Batu Nabau mempunyai ukuran panjang melebihi sembilan meter dengan diameter melebihi dua meter. Batu ini merintangi sungai Bukong di sebuah kawasan yang dipanggil Batu Lintang oleh penduduk di situ. Kisah Batu Nabau ini kembali popular apabila seorang lelaki berketurunan Siam dari Kuala Lumpur mendakwa mengenai kewujudan ular gergasi yang bertukar menjadi batu sehingga mendorongnya mencari batu tersebut. Hasil bantuan penduduk tempatan di Daerah Sri Aman, akhirnya lelaki ini menemui apa yang didakwanya dalam mimpi sebelum ini iaitu Batu Nabau atau ular gergasi yang bertukar menjadi batu. Lelaki ini kemudiannya dengan bantuan penduduk kampung telah mengecat semula Batu Nabau serta membersihkan kawasan sekitar batu tersebut. Kisah lelaki tersebut disiarkan disiarkan di sebuah akhbar tempatan berbahasa cina.

Kisah Batu Nabau tidak terhenti setakat itu sahaja, wujud juga dakwaan mengatakan terdapat corak menyerupai huruf jawi pada bahagian tengah batu tersebut. Penemuan corak tersebut menyerupai huruf alif, lam, ha, nun, mim dan sin dikatakan tersusun dalam keadaan terbalik serta terpisah antara satu sama lain. Perkara ini disedari oleh salah seorang penduduk tempatan yang berkunjung ke lokasi batu tersebut selepas terbaca artikel mengenai Batu Nabau di akhbar tempatan. Berikutan daya tarikan tersendiri Batu Nabau, Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) berhasrat membangunkan kawasan Batu Nabau sebagai salah satu destinasi pelancongan ekoran sambutan orang ramai yang berkunjung ke situ. Hasrat tersebut dicetuskan dalam satu mesyuarat. Selain itu turut terdapat usul untuk mengadakan satu kajian terperinci mengenai kisah kewujudan Batu Nabau untuk dibukukan sebagai maklumat kepada umum. (Kemas kini: 30 Mac 2010)


Tarikan Batu Nabau

Kewujudan sebongkah batu yang menyerupai seekor ular gergasi berhampiran Rumah Panjang Nyalau telah menjadi tarikan kepada pengunjung yang datang ke Pekan Kecil Engkilili. Penduduk di kawasan rumah panjang tersebut mengenali batu tersebut sebagai Batu Nabau yang bermaksud Batu Ular. Di kalangan penduduk tempatan, Batu Nabau yang terletak hanya 50 meter dari Rumah Panjang Nyalau telah lama diketahui oleh mereka. Mempunyai ukuran panjang melebihi sembilan meter dengan dua meter garis pusat, batu itu merintangi Sungai Bukong. Ia turut dikenali sebagai Batu Lintang oleh para penduduk Rumah Panjang Bukong.

Batu Nabau terus menjadi perhatian umum apabila ia mendapat liputan media pada tahun 1996 dan kisah mengenai batu tersebut tersiar kembali pada tahun lepas di dada sebuah akhbar berbahasa Mandarin. Ekoran itu, salah seorang ahli Majlis Daerah Lubuk Antu (MDLA), Crispin Limin mengemukakan hasrat untuk membangunkan kawasan di sekitar terletaknya Batu Nabau sebagai tarikan pelancong dan mendapat maklum balas yang baik daripada Pegawai Daerah Lubuk Antu, Nelson Mujah Girie. Nelson mengusulkan agar kajian terperinci mengenai kewujudan Batu Nabau dilakukan dan seterusnya dibukukan untuk tatapan umum.

Lanjutan daripada cadangan itu, beberapa orang wakil telah dihantar untuk memantau serta meneliti potensi kawasan berkenaan sebagai destinasi tarikan pelancong di samping menyelidik kisah kewujudan Batu Nabau. Pihak MDLA berharap agar lokasi Batu Nabau mampu berkembang sebagai kawasan tarikan pelancong di Daerah Kecil Engkilili pada masa akan datang. Pelawat yang ingin melihat sendiri Batu Nabau dinasihatkan supaya berhati-hati serta mematuhi arahan yang tertera pada jalan masuk ke kawasan terbabit demi kebaikan mereka sendiri. (Kemas kini: 28 September 2009 - Oleh: Siti Hazilah)


PelanconganKeindahan Wong Ajong Dan Kemeriahan Gawai

Engkilili menjadi tumpuan pengunjung kerana dua sebab, pertama kerana keindahan alam semula jadinya dan kedua, budaya dan kaum penduduknya. Air Terjun Wong Ajong terletak kira-kira empat kilometer dari Pekan Engkilili. Untuk sampai ke lokasi ini, pengunjung perlu berjalan sejauh dua kilometer dengan meredah hutan dan melepasi pepohon besar. Biasanya air terjun ini dilawati oleh penduduk tempatan mahupun pengunjung luar ketika musim cuti persekolahan. Selain airnya yang jernih dan sejuk, di sini juga dihiasi dengan pelbagai jenis pokok-pokok unik dan cantik lagi sejuk mata memandang. Kemeriahan pengunjung juga dapat dilihat semasa pelajar sekolah dari Engkilili dan pengunjung luar mengadakan rombongan dan bermalam dengan mendirikan khemah.

Selain itu, sambutan Hari Perayaan Gawai atau Pesta Menuai Padi oleh Kaum Iban secara besar-besaran di Engkilili mampu dijadikan produk pelancongan. Pengunjung yang hadir dapat menyaksikan upacara keagamaan oleh Kaum Iban yang menyembah pokok, batu dan sebagainya untuk menunjukkan tanda kesyukuran kerana mereka kerana berjaya menuai padi sepanjang tahun. Selain itu, kaum Iban juga menyambut Hari Gawai Burung, Gawai Batu, Gawai Kenyalang, Gawai Antu dan Tarian Ngajat dengan diiringi alat muzik seperti gendang, tawak, bebedai dan kerumung (alat seperti gong). Kemeriahan dapat dilihat apabila pengunjung dan penduduk tempatan meminum air tuak yang diperbuat daripada ragi dan beras secara beramai-ramai.

Sebenarnya Kaum Iban merupakan etnik terbesar di Sarawak yang juga dikenali sebagai Dayak Laut. Rumah panjang merupakan kediaman kaum Iban dan boleh dijadikan aset pelancongan terutamanya rumah panjang di Ulu Sungai Skrang dan Sungai Lemanak, Engkilili. Selain dapat menikmati keindahan alam semula jadi di sini, pengunjung juga boleh tinggal di rumah panjang bersama-sama Kaum Iban dan mempelajari cara-cara mereka berkomunikasi, mengamalkan cara hidup mengikut adat, mengetahui tentang pantang larang, semangat persaudaraan, bertolak ansur dan sebagainya. Terdapat sebilangan kecil kaum Iban memilih Kristian sebagai agama mereka, namun masih mengekalkan adat resam dan kepercayaan animisme.

Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 28 September 2010 08:06
 

Perpustakaan Awam Majlis Daerah Lubok Antu Engkilili 95800 Lubok Antu Sarawak

Hit Paparan Kandungan : 50083
Kemas Kini :
09-05-2013 02:55