Engkilili
Sarawak Bumi Kenyalang
Kemudahan Asas
Indeks Artikel
Kemudahan Asas
Kemas Kini: 20 Okt 2010
Kemas Kini: 25 Mei 2009
Artikel Asal
Semua Halaman

kk1_engkilili_kemudahan

Manfaat Untuk Rakyat

Pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) terus dipertingkatkan khususnya di kawasan pedalaman Engkilili. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, YB Dr Johnnical Rayong, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1,756,843 untuk RES di beberapa lokasi seperti Rumah Karak, Rumah Ungin dan Rumah Ameh dalam kawasan Setengin, Lubok Antu pada tahun 2011. Malah, sejumlah RM3,613,325.44 dikhaskan untuk pelaksanaan di Rumah Mujan, Rumah Murad, Rumah Ripong sepanjang Jalan Murad. Sementara itu, penduduk di Jalan Skrang, Pelasok, Engkilili, Rumah Empading, Bunu, dan Rumah Pais, Skrang bakal menikmati manfaat dari RES dengan peruntukan berjumlah RM2,516,173.15. Kemudahan itu bukan sahaja ditunggu-tunggu oleh masyarakat malah impian penduduk sejak sekian lama dianggap menjadi kenyataan.

Menurut Johnnical, apabila pelaksanaan RES siap dengan sempurna kelak, semua penduduk sekitar bakal memperoleh bekalan tenaga elektrik 24 jam. Beliau turut memaklumkan akan berusaha mendapatkan peruntukan daripada pihak berkenaan untuk memastikan rakyat menerima RES. Ia sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat yang selama ini berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan kemudahan asas. Secara tidak langsung, ia dapat menyokong proses pembangunan luar bandar selaras untuk menukar imej. Justeru, beliau mengajak seluruh warga Engkilili agar memanfaatkan segala kemudahan yang diberikan oleh kerajaan dengan sebaik-baiknya demi menaik taraf hidup rakyat terutamanya di kawasan pedalaman (KK9: 5 April 2011 Oleh: Zanariah Abdullah)


Projek Majukan Engkilili Giat Dilaksana

Kerajaan kini giat melaksanakan beberapa projek di kawasan Engkilili merangkumi penyediaan kemudahan jalan raya, elektrik dan bekalan air untuk kemudahan penduduk di kawasan tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, YB Dr Johnnical Rayong Ngipa berkata, antara projek yang sedang dilaksanakan ialah menaik taraf jalan sepanjang dua kilometer dari Lebuh Raya Pan Borneo ke kawasan Nanga Bunu, Skrang selain pembinaan jalan raya Lidong-Lipat sepanjang tiga kilometer. Menurutnya, kerajaan juga menerusi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) sudah memulakan kerja menyediakan kemudahan bekalan elektrik 24 jam kepada beberapa buah rumah panjang di sini. Antara kawasan terbabit dari Ulu Skrang, Semanjo, Nibong, Titok, Gelung, Beranggang dan Merio. Beliau dilaporkan berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entalau di Ulu Skrang, Engkilili, pada 1 Oktober lepas. Hadir sama Ahli Parlimen Lubok Antu, YB William Nyalau Badak.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa buah rumah panjang di kawasan DUN Engkilili iaitu San Semanju, Sebeliau, Pentik, Batu Lapan dan Semuah akan menikmati bekalan air bersih di bawah pelan pembangunan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tidak lama lagi. Difahamkan, projek penyediaan kemudahan bekalan air bersih tersebut untuk semua kampung terbabit telah dilaksanakan baru-baru ini. Katanya lagi, penduduk dari kawasan berkenaan bakal menikmati faedah menerusi pelan pembangunan NKRA pada masa akan datang. Justeru itu, beliau yakin penduduk di kawasan Engkilili akan mempunyai peluang untuk menikmati lebih banyak hasil pembangunan jika mereka meneruskan sokongan masing-masing terhadap kerajaan dari masa ke semasa. Pada majlis yang sama, beliau turut mengumumkan Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada PIBG SK Nanga Entalau. (KK7: 20 Oktober 2010)


Lengkap Dengan Kemudahan

Kira-kira dua kilometer dari Pekan Engkilili, terdapat dua buah taman permainan kanak-kanak yang yang diurus selia oleh Majlis Daerah Lubuk Antu. Selain itu, terdapat sebuah dewan serba guna yang lengkap dengan gelanggang badminton dan lazimnya ia menjadi tempat riadah bagi golongan belia serta dewasa yang gemar bermain badminton terutama pada sebelah malam. Di dewan berkenaan, pelbagai aktiviti lain turut dijalankan pada setiap tahun, antaranya ialah Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan majlis keramaian. Majlis perkahwinan penduduk kampung juga biasanya berlangsung di dewan ini dan lazimnya ia diadakan pada hujung minggu. Selain memiliki sistem audio yang lengkap, dewan serbaguna ini turut memiliki kemudahan kira-kira 20 buah meja dan lebih 200 buah kerusi. Individu yang menggunakan dewan ini lazimnya dikenakan bayaran sewa sebanyak RM170.00 sehari.

Walaupun memiliki pelbagai pelbagai prasarana, pada masa kini, Pekan Kecil Engkilili belum lagi mempunyai kemudahan penginapan sama ada inap desa, chalet mahu pun hotel. Pengunjung luar yang datang ke sini lazimnya akan bermalam di hotel yang terdapat di bandar Sri Aman iaitu salah satu tempat yang mudah dikunjungi jika berada di Engkilili. Bagaimanapun, sebelum ini, terdapat sebuah rumah rehat yang menjadi tempat penginapan sementara pegawai-pegawai kerajaan yang datang ke sini atas urusan kerja dan sebagainya. Namun, sejak Oktober 2008 lalu, bangunan yang mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan dan dapur ini tidak digunakan lagi dan telah dijadikan pusat pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Engkilili sementara menunggu bangunan baru yang terletak berhadapan dengan pejabat daerah berkenaan siap sepenuhnya nanti. (Kemas Kini: 25 Mei 2009)


KemudahanAsasPelbagai Kemudahan Disediakan

Sama seperti di kawasan-kawasan lain di negeri ini, Engkilili juga tidak ketandusan pembangunan hampir 10 tahun ini. Sejak Projek Kecil Luar Bandar Daerah Kecil Engkilili diperkenalkan pada tahun 2000, pelbagai projek pembangunan telah dijalankan di kawasan ini yang melibatkan Projek Jalan Kampung, Projek Bekalan Elektrik, Projek Keagamaan, Projek Jambatan dan Projek Pembersihan Sungai. Mengikut rekod, pada tahun 2000, daerah ini telah menerima peruntukan sebanyak RM267 ribu daripada kerajaan negeri dan RM688 ribu daripada kerajaan persekutuan yang menjadikan keseluruhannya berjumlah RM955 ribu Sejumlah RM435 ribu dari kos yang disediakan dikhaskan untuk peruntukan ahli parlimen (outright grant) dan selebihnya digunakan untuk projek-projek pembangunan seperti yang tersenarai.

Antara projek pembangunan terawal yang dijalankan sekitar tahun 2000 ialah memperbaiki jambatan belian di Kampung Merio Sedan dan jalan simen Kumpang Paoh dengan kos keseluruhan bernilai RM90 ribu. Kesinambungan pembangunan di Engkilili diteruskan dalam tahun 2001 apabila kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan penyambungan bekalan elektrik sebanyak RM105 ribu dan tambahan pakej pre-emptive berjumlah RM1.3 juta Pakej pre-emptive melibatkan projek jalan kampung, jeti, elektrik, kemudahan rumah panjang, keagamaan dan pusat sumber. Peruntukan sebanyak RM20 ribu pula telah disediakan oleh kerajaan negeri untuk kos bahan binaan di kawasan ini. Antara projek yang telah dijalankan pada tahun 2001 ialah projek menaik taraf Jalan Rh. Sujang (Sedarat Salin), Rh. Ulin (Sedarat Baru), Rh. Assan (Sedarat Mawang), Rh. Andam (Sedarat Simpang), Rh. Engkabi (Semanju), Rh. Gerang (Sungai Keroh) dengan nilai keseluruhan sebanyak RM145 ribu.

Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 17 Januari 2012 03:07
 

Perpustakaan Awam Majlis Daerah Lubok Antu Engkilili 95800 Lubok Antu Sarawak

Hit Paparan Kandungan : 75646
Kemas Kini :
09-05-2013 02:55