Engkilili
Populasi
Indeks Artikel
Populasi
Artikel Asal
Semua Halaman

kk15_Populasi_Engkilili

Ngiling Bidai

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Engkilili telah menganjurkan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 di Dewan Serbaguna Skim Skrang, Engkilili pada 29 Jun 2012 lalu. Majlis adalah simbolik sebagai menandakan berakhirnya sambutan Perayaan Gawai Dayak semenjak 1 Jun lepas. Kira-kira 3,000 penduduk berbilang kaum dari sekitar Engkilili hadir pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Menteri Kewangan merangkap Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Kerajaan Negeri Sarawak, YB Datuk Seri Wong Soon Koh sebagai patron Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012.

Pelbagai acara menarik telah diadakan bagi menyerikan lagi majlis tersebut termasuklah upacara Ngetas Ranyai, persembahan kugiran, persembahan nyanyian oleh artis berketurunan Iban yang popular. Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan Sarawak, YB Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Lubok Antu, YB Tuan William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, YB Dr Johnnical Rayong Ngipa dan ADUN Opar, YB Ranum Mina. Penganjuran Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2012 berjaya menyatupadukan semua penduduk di kawasan Engkilili. (KK15: 12 Julai 2012)

Sumber:

http://www.theborneopost.com/2012/06/14/supp-to-hold-majlis-ngiling-bidai/
http://www.theborneopost.com/2012/06/20/parti-cuba-menentang-calon-prs-harus-dianggap-sebagai-penentang-bn/
http://newsriamannews.blogspot.com/2012/06/ngiling-bidai-supp-engkilili-29-jun-ini.html


alt

Iban Kaum Utama

Rekod terbaharu Pejabat Daerah Kecil Engkili menunjukkan pada April 2010, Engkilili mempunyai bilangan penduduk seramai 23,234 orang. Kaum Iban mendominasi bilangan penduduk di kawasan ini iaitu 21,023 orang diikuti Cina seramai 1,951 manakala Melayu berjumlah 260 orang. Penurunan jumlah penduduk Melayu dilihat sangat ketara jika dibandingkan pada tahun 2008 iaitu seramai 310 orang. Penurunan ini dipercayai akibat daripada perpindahan penduduk Melayu ke kawasan lain disebabkan faktor pekerjaan atau pun perkahwinan dengan orang luar. Memandangkan kaum Iban merupakan penduduk teramai di daerah kecil ini, maka ia turut mempengaruhi jumlah rumah panjang yang terdapat di sini iaitu 198 buah (angka sehingga April 2010). Bilangan rumah sebanyak itu menempatkan lebih 3,500 buah pintu yang dihuni oleh berlainan keluarga. Masyarakat Cina pula tinggal di enam buah penempatan berbeza di sekitar daerah ini manakala bangsa Melayu hanya boleh ditemui di Kampung Melayu iaitu satu-satunya yang ada di Engkilili.

Masyarakat Iban di sini masih berpegang teguh dengan adat dan budaya yang diamalkan terutama dalam soal kehidupan. Sebagai contoh, mengikut adat lama orang Iban, lelaki yang hendak berkahwin mesti berumur lebih daripada 22 tahun. Mereka percaya, pada usia ini, golongan ini sudah bersedia memikul tanggung jawab sebagai seorang suami dan ketua keluarga. Seperti masyarakat Melayu, adat perkahwinan orang Iban juga dimulakan dengan urusan merisik, kemudian bertunang dan barulah dikahwinkan. Kaum ini turut meraikan kedua-dua mempelai seperti yang dilakukan oleh masyarakat lain.

Pengurusan mayat orang-orang Iban juga perlu dilakukan dengan penuh kesempurnaan dan kemuliaan. Apabila ada kematian, saudara-mara dan sahabat handai akan menziarahi keluarga si mati. Perkara pertama yang dilakukan sebaik sahaja mendapati seseorang itu telah mati ialah merapatkan mulutnya. (biasanya dilakukan oleh ahli keluarga si mati). Kemudian memandikan mayat, dihias dan dikenakan pakaian yang sebaik-baiknya. Kedua-dua pintu rumah panjang juga perlu digalang dengan dua batang alu. Mereka percaya, jika perkara ini tidak dilakukan, hantu si mati akan membawa pulang roh si mati. Kemudian mayat diletakkan di tengah-tengah rumah panjang dan dilingkungi dengan pua kumbu yang dipanggil sapat.

Semua barang yang perlu dibekalkan bersama-sama “si mati” perlu disediakan. Masyarakat ini percaya, ia sebagai bekalan “si mati” ketika berada di alam lain (alam selepas mati). “Si mati” juga tidak boleh ditinggalkan bersendirian. Seterusnya, seorang wanita yang mahir ditugaskan membaca doa agar roh “si mati” dapat dibawa ke syurga tanpa sebarang halangan. Doa itu akan dibaca berterusan sehinggalah mayat dibawa keluar dari rumah panjang. Sepanjang malam sebelum pengebumian dijalankan, warga-warga tua akan berbincang tentang tempoh masa berkabung dan berpantang. Apabila “si mati” telah dimasukkan ke dalam keranda, beliau terus disuakan makanan menggunakan pinggan. Kemudian pinggan itu dipecahkan dan dibuang ke tanah melalui celahan lantai dan ditaburi beras supaya petara tidak menyeksa si mati.

Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 28 Disember 2012 09:31
 

Perpustakaan Awam Majlis Daerah Lubok Antu Engkilili 95800 Lubok Antu Sarawak

Hit Paparan Kandungan : 51043
Kemas Kini :
09-05-2013 02:55