Engkilili
Keusahawanan

alt

Usahawan Cendawan Tiram Kelabu

Di Pekan Engkilili, terdapat sebuah stesen minyak Petronas didirikan oleh seorang usahawan bernama Kua. Beliau memulakan perniagaan dengan modal permulaan kira-kira RM100 ribu sejak tahun 2002 lagi. Namun begitu, terdapat beberapa buah stesen minyak yang lain di setiap kampung yang beroperasi secara kecil-kecilan bagi membekalkan diesel dan petrol untuk kenderaan terutamanya bas, lori, motosikal dan kereta. Selain itu, segelintir penduduk berbangsa Cina dan Melayu di Pekan Engkilili juga menjalankan perniagaan dengan membuka kedai makan atau restoran. Penduduk di sini tidak begitu terasing dengan masakan yang terdapat di Malaysia, antaranya mee goreng dan mee jawa. Kebanyakan restoran dan kedai makan di Pekan Engkilili didirikan menggunakan konsep rumah kedai.

Selain itu, keprihatinan pihak kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan tempatan, pelbagai usaha telah dilakukan. Misalnya pada 2009 yang lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Yang Berhormat (YB) Dr. Johnical Rayong Anak Ngipa telah merasmikan Penanaman Cendawan Tiram Kelabu secara komersial. Bagi menjayakan projek ini, YB Dr. Johnical telah melancarkan Majlis Pelancaran Koperasi Bela Rakyat (KOBERA) di Dewan Serbaguna Skim Skrang pada 31 Oktober 2009 yang lalu. Syarikat Eastern Agrotech diberi peranan untuk membeli hasil cendawan berkenaan. Menurutnya, penanaman cendawan ini bukan sahaja boleh merancakkan industri hiliran di kampung malah melahirkan lebih ramai usahawan di Engkilili.

Tambahan pula, tempoh matang cendawan mengambil masa yang singkat, iaitu kira-kira seminggu hingga 60 hari. Harga pasaran pula mencecah RM19.00 sekilogram dan penggunaan lima ribu bongkah untuk menanam cendawan mampu menghasilkan pendapatan RM2,000 sebulan. Bagi menjayakan penanaman ini, peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) amat diperlukan dengan menggalakkan penyertaan secara beramai-ramai oleh penduduk kampung.

 

Terakhir Dikemaskini pada Isnin, 03 Mei 2010 13:00
 

Perpustakaan Awam Majlis Daerah Lubok Antu Engkilili 95800 Lubok Antu Sarawak

Hit Paparan Kandungan : 40329
Kemas Kini :
09-05-2013 02:55