Lima Kedai
 
       

Perpustakaan Desa Perumahan 5 Kedai, Balai Raya Perumahan Lima Kedai, Jalan Malinja 2, Perumahan Lima Kedai, Gelang Patah, Johor.

Hit Paparan Kandungan : 49697
Kemas Kini :
18-03-2013 09:23
Pendidikan
Indeks Artikel
Pendidikan
Kemas Kini: 12 Jul 2012
Kemas Kini: 8 Feb 2012
Artikel Asal
Semua Halaman

kk16_limakedai_pendidikan

Kelas Tambahan Percuma

Majlis Daerah Johor Baru Tengah dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk Lima Kedai telah mengadakan kelas tambahan khusus untuk pelajar miskin pada Julai 2012 lalu. Kelas-kelas tambahan itu, mensasarkan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Program kelas tambahan berkenaan mendapat sokongan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, YB Datuk Abdul Aziz Sapian yang hadir pada upacara pelancarannya di Dewan Lima Kedai. Seramai 30 pelajar akan menghadiri kelas yang dijalankan di Dewan Pelbagaiguna Surau Al-Hidayah, Bilik Rukun Tetangga dan Pejabat UMNO Lima Kedai. 12 guru menggalas tanggungjawab mengendalikan kelas berkenaan.

Program adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial masyarakat terhadap golongan pembayar cukai terutamanya mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah. Pelaksanaan program secara tidak langsung dapat membina hubungan baik antara penduduk dan pihak penganjur demi memastikan pelajar-pelajar tersebut mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan masing-masing kelak. Pihak penganjur tidak menolak untuk meneruskan program sedemikian pada masa-masa akan datang andai program pada kali itu berjaya. Abdul Aziz dalam ucapannya turut mengajak pelajar berusaha demi kecemerlangan pelajaran mereka. (KK16: 21 September 2012 – Oleh: Zanariah Abdullah)


 

kk13_limakedai_pendidikan

SMK Mutiara Rini 2

Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Mutiara Rini 2 adalah institusi menengah kedua yang ditubuhkan di kawasan penempatan Mutiara Rini. Kerja-kerja asas pembinaan telah bermula pada 27 April 2001 dan disiapkan pada September 2002. Manakala jalan laluan bertar masuk ke sekolah disiapkan pada Januari 2004. Bangunan SMK Mutiara Rini 2 menempatkan lima buah blok terdiri daripada Blok Pentadbiran, Blok Akademik, Blok Makmal dan Bengkel, Surau dan Kantin. Sebelum itu, sekolah tersebut menumpang si SMK Mutiara Rini bermula 16 Januari 2004 hingga 31 Mei 2004. Operasi sekolah dijalankan secara rasmi pada 1 Jun 2004 di mana Pengetua SMK Mutiara Rini ketika itu, Hajah Siti Raudah Moh dilantik sebagai Pengetua Pembimbing sekolah berkenaan. Majlis Penyerahan Plak Pengoperasian Sekolah Baru serentak dengan Perasmian Pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Mutiara Rini 2 telah dilaksanakan pada 14 Jun 2004.

Berilmu, Berketerampilan, Berakhlak merupakan cogan kata SMK Taman Mutiara Rini 2 yang membawa maksud melahirkan generasi berilmu dan berketerampilan serta berakhlak mulia. Sekolah telah menetapkan beberapa kriteria demi meningkatkan pencapaian akademik ke peringkat yang lebih cemerlang dari segi kuantiti dan kualiti supaya dapat  Melahirkan pelajar yang mencintai ilmu selain memupuk semangat berdaya saing di kalangan pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik. Sekolah itu juga mahu melahirkan pelajar-pelajar yang peka arus perkembangan pendidikan secara global dan bertaraf dunia. Pendekatan sahsiah terpuji turut ditekankan di SMK Mutiara Rini 2 agar dapat membentuk pelajar yang berakhlak dan berdisiplin. (KK15: 12 Julai 2012 – Oleh: Zanariah Abdullah)

 


 

 

SMK Taman Mutiara Rini

Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Mutiara Rini memulakan sesi persekolahan pada 1 Januari 2001 di bawah pengurusan Pengetua yang pertama, Halimah Ali. Pentadbiran sekolah ini diteruskan lagi di bawah naungan Pengetua yang baru,Hajah Siti Raudah Moh mulai 16 Julai 2001 hingga kini. Terletak di tengah-tengah kawasan perumahan Taman Mutiara Rini, Skudai, sekolah tersebut dibina untuk memenuhi keperluan pendemokrasian pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Keenam (Program Kementerian Pendidikan Malaysia) dan dibina melalui kaedah “plan and build” oleh pihak pemaju perumahan Mutiara Rini. SMK Taman Mutiara Rini pada awalnya menerima pelajar dari SMK Taman Universiti dan SMK Taman Skudai Baru.

Jumlah pelajar ketika sekolah ini mula beroperasi ialah seramai 800 orang dan terus meningkat kepada 1,300 pada tahun 2002. Pada tahun 2003 bilangan pelajar terus meningkat menjadi 1,500 orang. Pada tahun itu juga Pejabat Pelajaran Daerah telah mengarahkan SMK Taman Mutiara Rini menawarkan pembelajaran Tingkatan 6. Dengan perkembangan ini, pengurusan SMK Taman Mutiara Rini telah mengambil keputusan untuk menjadikan dua sesi persekolahan, iaitu tingkatan peralihan, Tingkatan 1 dan 2 di sesi petang dan Tingkatan 3,4,5 dan 6 pada sesi pagi. Bangunan-bangunan, kantin dan surau sekolah telah dibina berpandukan pelan yang direka bentuk oleh Pemaju Perumahan Taman Mutiara Rini.

Sekolah berkenaan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan fizikal meliputi 36 buah bilik darjah, tiga buah bengkel Kemahiran Hidup dan enam buah makmal sains. Kemudahan-kemudahan lain adalah seperti surau, koperasi sekolah, kedai buku, bilik kesihatan, makmal komputer, bilik seni, bilik muzik dan bilik bahasa. SMK Taman Mutiara Rini menetapkan matlamat melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berilmu pengetahuan, produktif dan berakhlak mulia yang akan memberi sumbangan yang positif ke arah kemajuan dan kemakmuran negara maju menjelang tahun 2020. Adalah menjadi tanggungjawab sekolah untuk melaksanakan dasar Pendidikan Negara dan lain-lain rancangan dan program pendidikan yang ditetapkan dengan cemerlang. (KK13: 8 Februari 2012 – Oleh: Zanariah Abdullah)

 

 


alt

Pendidikan Lengkap

Anak-anak di Perumahan Lima Kedai memperoleh pendidikan awal di tadika Perpaduan KEMAS di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga di tadika Cina. Kemudiannya anak-anak ini akan melanjutkan pula pelajaran di peringkat rendah iaitu di Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini 1 dan 2, Sekolah Rendah Agama Lima Kedai, Sekolah Rendah Kebangsaan (Cina) Ping Ming dan Sekolah Rendah Kebangsaan (Tamil) Ladang Rini.

Bagi murid-murid yang telah berjaya menamatkan pelajaran di peringkat rendah, mereka kemudiannya melanjutkan pula pelajaran di peringkat menengah iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini yang juga menjadi institusi pendidikan bagi anak-anak dari kampung sekitar iaitu Kampung Pulai untuk mendapatkan pendidikan.

Pihak sekolah memberi pelbagai bantuan untuk pelajar yang merangkumi biasiswa, pinjaman buku teks serta penganjuran pelbagai program dan aktiviti untuk memberi lebih pendedahan kepada pelajar berkaitan sesuatu perkara.

Terakhir Dikemaskini pada Khamis, 07 Februari 2013 09:24