Lima Kedai
 
       

Perpustakaan Desa Perumahan 5 Kedai, Balai Raya Perumahan Lima Kedai, Jalan Malinja 2, Perumahan Lima Kedai, Gelang Patah, Johor.

Hit Paparan Kandungan : 49696
Kemas Kini :
18-03-2013 09:23
JKKK
Indeks Artikel
JKKK
Kemas Kini: 6 Ogos 2010
Kemas Kini: 31 Mac 2010
Kemas Kini: 16 Dis 2009
Kemas kini: 2 Okt 2009
Artikel Asal
Semua Halaman

kk10_-PERUMAHAN5KEDAI_jkkk

Sambutan Hari Pekerja

Seramai 300 penduduk di Perumahan Lima Kedai menghadiri sambutan Hari Pekerja yang berlangsung pada 1 Mei 2011 lalu bertempat di Dewan Terbuka Perumahan Lima Kedai. Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Lima Kedai dan Jawatankuasa Penduduk Perumahan Lima Kedai itu turut menyaksikan penglibatan penduduk setempat dari Kampung Melayu Lima Kedai dan Flat Lima Kedai. Menurut Pengerusi KRT Lima Kedai, Salamian Surip, penganjuran acara itu merupakan tradisi di penempatan tersebut yang telah mengeratkan ikatan silaturahim di kalangan mereka. Malah, penduduk juga dapat mengisi masa lapang mereka dengan kegiatan santai setelah penat bekerja.

Menurut beliau, program yang bermula dari pagi hingga malam itu menampilkan pelbagai aktiviti yang menarik perhatian penduduk termasuk persembahan kumpulan ghazal dari Gelang Patah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusa Jaya, YB Aziz Sapian turut hadir pada malam kemuncak acara. Program bermula pada awal pagi dengan acara sukaneka dan pertandingan mewarna kanak-kanak. Lebih dari 100 kanak-kanak menyertai acara tersebut mengikut kategori yang ditetapkan. Turut dijalankan pertandingan gubahan dan masakan khusus buat kaum wanita di mana juri dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Gelang Patah telah dihadirkan pada hari itu untuk memberi markah kepada setiap peserta. Pada masa sama, pertandingan karaoke suka-suka turut diadakan serentak dari jam 2.00 petang hingga 6.00 petang.

Program diteruskan pada sebelah malam di mana tetamu disajikan dengan persembahan pentas yang berkonsepkan Melayu Tradisional atau klasik. Menurut Salamian, seramai 400 penduduk hadir memeriahkan acara berkenaan. Sementara itu, beliau turut memaklumkan tentang Program Gerak Tumpu Bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru Tengah dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim yang berlangsung pada Mac 2011 lalu. Malah, bulan Mei turut diraikan dengan ceramah perdana yang memperkatakan tentang tanggungjawab ibu bapa kepada anak dan tanggungjawab anak kepada ibu bapa sempena sambutan Hari Ibu. Beliau turut memaklumkan tentang rancangan KRT mengadakan lawatan sambil belajar ke Pulau Langkawi. (KK10: 20 Jun 2011 Oleh: Zanariah Abdullah)


jkkk_limakedai_kk3

Sambutan Hari Keluarga

Pelbagai aktiviti dijalankan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Perumahan 5 Kedai dalam usaha merapatkan perhubungan di kalangan masyarakat setempat seperti mengadakan Hari Keluarga pada 25 Julai 2010 lalu. Menurut Pengerusi KRT 5 Kedai, Salamian Surip, program berkenaan mendapat kerjasama Jawatankuasa Penduduk dan Kumuniti Polising yang baru ditubuhkan. Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi bertempat di Dewan Terbuka Jalan Malinja 2 itu menarik kehadiran seramai 200 penduduk setempat untuk bersama-sama memeriahkan acara. Menurut Salamian, pada hari berkenaan, mereka menerima kehadiran Komuniti Polising dari Daerah Nusa Jaya di bawah Program Kembara Keselamatan Komuniti Polising. Konvoi 80 buah motosikal berkuasa besar dan 20 buah kereta yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Nusa Jaya, Supritendan Abdul Aziz Ahmad. Mereka disambut secara meriah berserta paluan kompang pada jam 8.30 pagi. Selama hampir sejam kehadiran anggota terbabit pada hari itu, mereka sempat mengedarkan risalah tentang keselamatan kepada orang ramai.

Sementara itu, pelbagai aktiviti sampingan turut berjalan pada hari berkenaan melibatkan kanak-kanak seperti pertandingan melukis dan mewarna. Ia terbahagi kepada tiga kategori iaitu untuk murid-murid pra sekolah, tujuh hingga sembilan tahun dan 10 hingga 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan Taman Mutiara Rini 2. Salamian memaklumkan seramai 44 penduduk telah menderma darah untuk tabung darah Hospital Pakar Johor pada hari itu. Gerai pameran turut mengisi slot acara Hari Keluarga pada hari itu oleh agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Nusa Jaya, Akademi Binaan Malaysia dan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru. Menurut Salamian lagi, dalam usaha melahirkan golongan usahawan, sebanyak 12 buah gerai makanan, cenderahati serta pakaian telah dibuka dan disewakan kepada orang ramai. Program diteruskan pada sebelah petang dengan aktiviti sukaneka membabitkan acara baling bola, bola sepak dan futsal. Sesi cabutan bertuah berjaya meraih perhatian ramai yang menawarkan hadiah pinggan mangkuk, barang elektrik dan hamper barangan. Persembahan tarian zapin dan poco-poco oleh jiran muda dan jiran wanita serta pertandingan karaoke mengakhiri sambutan Hari Keluarga pada hari itu. (KK6: 6 Ogos 2010 Oleh: Zanariah Abdullah)


Lawatan Usia Emas

Seramai 50 warga emas dari Perumahan Lima Kedai memanjatkan kesyukuran kerana impian mereka untuk menjejakkan kaki ke Kota Iskandar, Johor akhirnya menjadi kenyataan. Lawatan Sambil Belajar Jiran Usia Emas ke Kota Iskandar dan beberapa lokasi sekitarnya dilakukan pada Februari 2010 lalu. Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lima Kedai, Salamian Surip, lawatan tersebut dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) dan KRT. Menurut beliau lagi, lawatan sedemikian merupakan antara acara wajib Jiran Usia Emas yang merupakan salah satu cabang dalam KRT. Pada Disember 2009 lalu, mereka membuat lawatan ke Kuala Lumpur dan Putrajaya. Lawatan sehari suntuk warga emas tersebut membabitkan empat lokasi iaitu Kota Iskandar, Puteri Harbour, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Jabatan Laut Wilayah Selatan.

Objektif lawatan adalah untuk memberi peluang kepada warga emas berkenaan melawat kawasan dan meninjau sendiri lokasi tersebut. Sebelum ini, mereka hanya sekadar mendengar nama sahaja dan tidak berkesempatan untuk melawat. Rata-rata warga emas mengakui jika tiada rombongan sedemikian mungkin mereka tidak berpeluang untuk melawat ke situ. Puteri Harbour misalnya merupakan sebuah dermaga kapal yang akan dibangunkan sebagai terminal feri tempat berlabuhnya kapal selain taman tema sebagai tarikan baru di situ. Sepuluh kilometer dari Kota Iskandar mereka bergerak ke Tanjung Pelepas dan berpeluang menikmati pemandangan dari dalam bas diikuti penerangan oleh pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas. Kemudian, mereka berehat sebentar di Restoran Seri Nelayan di Kampung Pendas Laut untuk menikmati hidangan tengah hari dan menunaikan solat.

Sesi lawatan disambung pada jam 2.00 petang dan destinasi seterusnya adalah ke Jabatan Laut Wilayah Selatan di mana mereka diterangkan dengan fungsi jabatan berkenaan. Menariknya, jika sebelum itu mereka hanya meninjau-ninjau dari daratan, tetapi kali ini golongan warga emas ini diberi peluang menaiki kapal dan dibawa mengelilingi sekitar pelabuhan menerusi jalan laut selama lebih kurang 45 minit. Kebanyakan warga emas terlibat amat teruja dengan kesempatan yang tidak terlintas di kepala mereka malah peluang tersebut jarang-jarang diberi kepada orang ramai. Menurut Sulaiman, walaupun penat, semua warga emas tersebut berpuas hati dengan lawatan berkenaan dan berharap agar ia diteruskan pada masa-masa akan datang. Beliau sendiri gembira kerana matlamat mendekatkan penduduk dengan agensi terbabit akhirnya tercapai. (Kemas kini: 31 Mac 2010)


LPPKN Tabur Bakti

Satu Program Kejiranan dan Pembangunan Keluarga anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Johor dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Lima Kedai telah diadakan pada November 2009 lalu. Program yang membabitkan 20 orang wakil LPPKN itu dijalankan di Dewan Terbuka, Dataran Perdana Ilmu Perumahan Lima Kedai. Menurut Pengerusi KRT Perumahan Lima Kedai, Salamian Surip, seramai 800 hingga 900 orang penduduk terlibat dalam program yang berlangsung selama sehari itu. Tambah beliau, program itu bertujuan untuk melahirkan institusi keluarga yang sihat dan sejahtera serta tidak terlibat dengan gejala negatif. Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Nusajaya, YB Datuk Haji Abdul Aziz Haji Sapian turut menyerikan acara.

Bermula dengan acara senamrobik sebagai pembuka tirai pada sebelah pagi, agenda program yang menekankan aspek kejiranan dan kemasyarakatan itu diteruskan dengan ceramah kesihatan oleh wakil LPPKN. Penduduk turut berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah tinggi. Jika terdapat penduduk dikesan mempunyai masalah kesihatan, mereka akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lebih lanjut. Penduduk kemudiannya didedahkan dengan ilmu berkaitan kekeluargaan dan komunikasi yang disampaikan oleh Salamian sendiri. Sementara itu, pameran oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Anti Narkotik Negeri Johor dan Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Johor turut menarik perhatian penduduk. Acara sukaneka seperti pertandingan tarik tali yang disertai oleh kaum lelaki dan wanita memeriahkan lagi acara pada petang itu.

Program berkenaan kemudiannya disambung pada sebelah malam dengan persembahan oleh Jiran Muda yang terdiri daripada murid-murid prasekolah dan pertandingan karaoke di kalangan muda-mudi Perumahan Lima Kedai. Salamian yang mewakili penduduk amat berbesar hati kerana LPPKN bermurah hati menaja hadiah kepada para peserta. Katanya lagi, dengan adanya aktiviti sedemikian, semua penduduk bukan sahaja dapat berkumpul bersama malah dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim yang sedia terjalin. (Kemas Kini: 16 Disember 2009)


alt

Lebaran Diraikan Ramadan Diberkati

S

eramai 80 orang perantau dari Indonesia dan Bangladesh telah diraikan pada pagi Syawal 1430 Hijrah lalu bertempat di Surau Nur Hidayah, Perumahan 5 Kedai sempena sambutan Aidilfitri. Kebanyakan mereka bekerja di kilang-kilang elektronik di kawasan perindustrian dan kilang perabot berhampiran. Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Salamian Surip, sambutan seumpama itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim di antara penduduk dan golongan pendatang berkenaan selain memberi kesempatan kepada mereka merayakan Syawal yang mulia.

KRT dan Jawatankuasa Surau bersama-sama menganjurkan majlis itu yang telah diadakan sejak dua tahun lalu. Ia setelah mengambil kira penglibatan mereka dalam setiap program yang dijalankan di kawasan perumahan tersebut seperti gotong-royong, kenduri-kendara dan sebagainya. Justeru, seminggu sebelum raya menjelang, maklumat berkaitan perkara itu telah disampaikan kepada penduduk oleh Jawatankuasa Surau. Para tetamu berkenaan dijamu dengan pelbagai juadah hari raya yang dibawa oleh penduduk seperti ketupat, lemang, rendang dan kuih raya. Sebelum itu, satu majlis tahlil ringkas turut diadakan sejurus selepas sembahyang sunat hari raya. Manakala, kira-kira 300 jemaah telah melakukan solat sunat hari raya pada pagi 1 Syawal lalu.

Sementara itu, sempena menyambut Ramadhan pada bulan Ogos 2009 lalu, KRT Perumahan 5 Kedai, telah mengadakan majlis Kenduri Sekampung bertempat di surau yang sama. Menurut Salamian, Seramai 200 orang penduduk setempat hadir dalam majlis yang dijalankan secara gotong-royong itu. Pada majlis yang sama, penduduk juga berkesempatan menghayati ceramah yang disampaikan oleh Naib Kadi Mukim Tanjung Kupang, Ustaz Sulaiman Nasir. Ceramah tersebut membincangkan persoalan yang menyentuh perkara-perkara asas berkaitan amalan puasa di bulan Ramadhan. Turut diadakan sesi soal jawab antara penduduk dan penceramah berkaitan isu yang dibincangkan.

Sejurus sesi ceramah berakhir, acara diteruskan dengan Majlis Qiamullail yang diadakan pada sebelah dinihari. Seramai 87 orang penduduk termasuk para pelajar Sekolah Agama Bandar Baru Uda turut menyertai Qiamullail yang diketuai oleh Pegawai Pejabat Agama Negeri Johor, Ustaz Muslimin Tumin yang juga merupakan penduduk tempatan. Majlis diikuti dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh Guru Besar Sekolah Agama Bandar Baru Uda, Ustaz Masuin Soid.

Sepanjang bulan Ramadhan, KRT Perumahan 5 Kedai tidak jemu-jemu menganjurkan program sampingan yang bercorak keagamaan. Majlis Khatam al-Quran dan Tadarus tidak ketinggalan memenuhi jadual program dan menyaksikan kehadiran seramai 200 orang penduduk. Sebelum itu, penduduk menyempurnakan solat sunat terawih yang diimamkan oleh Imam surau berkenaan, Salikin Nasri. Pada majlis yang sama, Pejabat Agama Johor Bahru telah sudi menyampaikan sumbangan kepada 50 orang anak-anak yatim dan fakir miskin.

Sementara itu, satu majlis penyampaian sumbangan kepada seramai 43 orang ibu tunggal turut diadakan pada bulan Ogos 2009 lalu. Setiap seorang menerima bantuan wang tunai dan hamper bernilai RM100. Kebanyakan mereka merupakan penduduk tempatan yang dikenal pasti oleh pihak KRT sendiri. Majlis bersempena Nisfu Syaaban itu turut mengundang wakil dari Pejabat Agama Daerah Pontian, Mohamad Fauzi Bachok untuk menyampaikan ceramah. Antara inti pati ceramah beliau berkisar tentang pengisian ilmu sepanjang bulan Syaaban dan persediaan Muslimin dan Muslimat menghadapi bulan Ramadhan. (Kemas kini: 2 Okt 2009)


alt

Pentadbiran KRT

P

engurusan dan pentadbiran Perumahan Lima Kedai kini diurus oleh Rukun Tetangga Perumahan Lima Kedai atau lebih dikenali sebagai Kawasan Rukun Tetangga (KRT). KRT Lima Kedai dinaungi oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Pengerusi KRT Lima Kedai ialah Salamian Surip atau lebih mesra dipanggil Cikgu Salamian di kalangan penduduk kampung. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menggerakkan Ahli Jawatankuasa KRT di sini untuk menjayakan pelbagai program seperti keselamatan, pembangunan dan kemajuan penduduk.

Terakhir Dikemaskini pada Khamis, 01 Disember 2011 01:54