Kuala Linggi
Hit Paparan Kandungan : 55128
Perikanan dan Penternakan
Indeks Artikel
Perikanan dan Penternakan
Kemas Kini: 19 September 2011
Artikel Asal
Semua Halaman

04_KK17kualalinggi_perikanan

Pelepasan Benih Anak Udang Galah

Jabatan Perikanan telah mengadakan satu Program Pelepasan Benih Udang Galah di Sungai Linggi pada Oktober 2012 lalu. Ia bertujuan meningkatkan stok udang galah yang semakin berkurangan ekoran aktiviti penangkapan yang tidak terkawal kebelakangan ini selain penyalahgunaan peralatan penangkapan oleh para nelayan. Sebanyak 110,000 ekor benih udang galah telah dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, YB Datuk Ar Haji Ismail Haji Othman. Program berkenaan dikatakan selari dengan penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Linggi yang memenuhi konsep strategi lautan biru 4 (National Blue Ocean Strategy). Penduduk sekitar bakal menerima impak positif hasil penyediaan perkhidmatan secara berpusat dan berintegrasi sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi nelayan itu sendiri. (KK17: 7 November 2012 Oleh: Zanariah Abdullah)


kk11_kualalinggi_perikanan

Tingkat Pendapatan Nelayan

Sebagai usaha untuk memastikan nelayan mempunyai pendapatan yang tetap, Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Perikanan akan melepaskan ratusan ribu benih pelbagai spesies ikan air tawar dan udang di sungai negeri ini. Selain itu, langkah tersebut juga bertujuan untuk membantu meningkatkan hasil pendapatan nelayan sungai. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, YB Datuk R. Perumal, tiga buah sungai yang telah dikenal pasti untuk program tersebut ialah Sungai Ramuan Cina, Kuala Linggi; Sungai Pengkalan di Alor Gajah dan Sungai Malim. Objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan jumlah spesies ikan yang menjadi sumber mata pencarian nelayan sungai yang menetap di pinggir tiga sungai berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan kira-kira 20,000 benih anak ikan lampam di Sungai Tehel pada Julai 2011 yang lalu. Turut hadir bersama ialah Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Rosmawati Ghazali. Menurut Perumal lagi, sejak kebelakangan ini terdapat aktiviti penangkapan ikan tidak terkawal yang merupakan punca spesies ikan air tawar semakin berkurangan di kawasan yang berkenaan. Adanya program melepaskan benih ikan ini, diharap dapat membantu memulihkan ekosistem sungai selain menjadikan kawasan sungai berkenaan sebagai sebuah kawasan rekreasi masyarakat setempat. Sementara itu, menurut Rosmawati pula, benih anak ikan atau udang yang dilepaskan di beberapa lokasi sungai utama di negeri itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Malah, pemantauan akan dilakukan agar spesies ikan dan udang yang terdapat di sungai berkenaan sentiasa ada. (KK11: 19 September 2011)


alt

Perkampungan Nelayan

Apabila kedudukan penempatan itu di persisiran pantai maka yang tergambar di fikiran kita pastinya sebuah perkampungan nelayan. Di Kuala Linggi ekonomi penduduknya sememangnya melalui sumber laut yang rata-rata penduduknya adalah nelayan. Kebanyakan mereka ialah nelayan persisiran pantai dan juga nelayan laut dalam. Di antara kelompok nelayan ini sebahagian mereka menjadi ahli kepada Persatuan Nelayan Kuala Linggi. Kebanyakan hasil-hasil tangkapan nelayan tersebut dijual kepada peraih, peniaga-peniaga ikan atau peniaga ikan bakar.

Bagi Alias Musa, beliau menjadi nelayan selepas bersara beberapa tahun yang lalu kerana ingin merasai sendiri kepuasan menangkap ikan. Berbekalkan sebuah perahu enjin, beliau menggunakan pukat hanyut untuk menaikkan ikan seperti pari, jenahak, merah dan juga udang.

Terakhir Dikemaskini pada Isnin, 15 April 2013 01:57