Kuala Linggi
Hit Paparan Kandungan : 58506
Maklumat Am
Indeks Artikel
Maklumat Am
Artikel Asal
Semua Halaman

kk14_MaklumatAm_KualaLinggi

Kepelbagaian di Kuala Linggi

Kuala Linggi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Melaka telah mengalami pelbagai perubahan dan membangun sejajar dengan peredaran masa. Port Supai yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi merupakan antara mercu tanda yang memiliki kisah sejarahnya tersendiri. Kesan peninggalan sejarah yang terletak di puncak Bukit Supai itu adalah kota pertahanan tentera Belanda dan Bugis yang dibina sebagai tanda simbolik perdamaian bagi perang antara 1756 dan 1757. Kini Kuala Linggi semakin membangun dan taraf kehidupan penduduknya juga sudah banyak berubah. Kehidupan seharian menjadi lebih mudah dengan dilengkapi pelbagai kemudahan dan prasarana yang lengkap termasuk mempunyai bekalan air dan elektrik yang sempurna.

Pada masa yang sama, Kuala Linggi juga memiliki produk pelancongannya yang tersendiri seperti Sungai Linggi yang sememangnya cukup sinonim dengan udang galah dan pelbagai jenis ikan sungai seperti senangin, lampam, sembilang dan serkot. Selain itu, telah wujud sebuah taman rekreasi baru berhampiran Sungai Linggi iaitu Taman Lokan yang memiliki keunikannya yang tersendiri. Populariti medan ikan bakar di sini bukanlah sesuatu yang baru di kalangan peminat ikan bakar, antara yang paling terkenal ialah Medan Ikan Bakar Terapung Kuala Sungai Baru dan Port Supai yang menyediakan pelbagai jenis ikan bakar yang segar seperti siakap, jenahak, sotong, kepah dan udang. Manakala Taman Laut Paya pula merupakan produk ekopelancongan hutan paya bakau yang dilengkapi dengan kemudahan penginapan, persiaran jalan kaki dan menara tinjau.

Bukan sahaja terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancong, pelabuhan Kuala Linggi bakal dibangunkan menjadi hab maritim di Selat Melaka. Setakat ini, pelabuhan Kuala Linggi menawarkan pelabuhan kapal ke kapal (STS) yang bertaraf antarabangsa bagi industri kargo cecair dan ia merupakan yang pertama di Malaysia. Melalui konsep STS, kapal yang melalui Selat Melaka hanya perlu berhenti di Hab Perdagangan dan Pemunggahan Terapung Antarabangsa Linggi (LIFT Hub) untuk proses pemindahan sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi lain. Usaha akan dilakukan untuk menjadikan pelabuhan tersebut antara yang tersibuk. Secara tidak langsung, dengan pelbagai pembangunan dan pembaharuan yang berlaku akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dalam meningkatkan taraf hidup masing-masing. Sekiranya berkunjung ke Kuala Linggi, jangan lepaskan peluang untuk meninjau dan melihat sendiri keistimewaan dan pelbagai perkara menarik di sini. (KK14: 16 April 2012)


alt

Adat Perpatih dan Temenggong

Jambatan Kuala Linggi boleh dikatakan pemisah atau sempadan antara Negeri Sembilan dan Melaka. Melintasi sahaja Jambatan Kuala Linggi bermakna anda telah tiba di Negeri Melaka, Bandaraya Bersejarah. Kuala Linggi terletak di Daerah Alor Gajah di samping beberapa mukim atau pekan kecil lain seperti Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru dan Masjid Tanah.

Jika di Negeri Sembilan, Adat Perpatih menjadi sanjungan namun Melaka yang terkenal dengan sejarah kepahlawanan Hang Tuah menjadikan Adat Temenggung sebagai budaya hidup sehari-hari. Bagaimanapun di Kuala Linggi terdapat juga masyarakat Minangkabau kerana kedudukannya yang bersempadan dengan Negeri Sembilan.

Kira-kira beberapa tahun yang lalu, sebelum kewujudan jambatan yang menghubungkan Port Dickson dan Kuala Linggi, perahu tambang menjadi pengangkutan utama menghubungkan kampung itu dengan kawasan-kawasan di Negeri Sembilan dan sebaliknya. Apabila jambatan Kuala Linggi siap dibina pada sekitar 1990-an, perhubungan melalui jalan raya telah menjadi keutamaan.

Menariknya di Kuala Linggi, terdapat beberapa peristiwa bersejarah yang boleh dikaitkan dengan kuasa-kuasa luar. Di sini terdapat sebuah kota pertahanan di Puncak Bukit Supai yang dibina oleh tentera Belanda dan Bugis sebagai tanda pendamaian perang di antara kedua-duanya yang berlaku pada tahun 1756-1757. Berdasarkan perjanjian tersebut, orang-orang Belanda diberi kuasa di kawasan Linggi dan dalam perdagangan bijih timah.

Perpustakaan Desa Kuala Linggi terletak di Pekan Kuala Linggi. Bangunannya terletak di antara deretan rumah-rumah di sepanjang jalan Kuala Linggi. Jika anda ternampak papan tanda Perpustakaan Desa Kuala Linggi bermakna anda telah pun sampai.

Terakhir Dikemaskini pada Rabu, 29 Ogos 2012 03:18