Kuala Linggi
Hit Paparan Kandungan : 24801
Maklumat Am
Indeks Artikel
Maklumat Am
Artikel Asal
Semua Halaman

kk14_MaklumatAm_KualaLinggi

Kepelbagaian di Kuala Linggi

Kuala Linggi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Melaka telah mengalami pelbagai perubahan dan membangun sejajar dengan peredaran masa. Port Supai yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi merupakan antara mercu tanda yang memiliki kisah sejarahnya tersendiri. Kesan peninggalan sejarah yang terletak di puncak Bukit Supai itu adalah kota pertahanan tentera Belanda dan Bugis yang dibina sebagai tanda simbolik perdamaian bagi perang antara 1756 dan 1757. Kini Kuala Linggi semakin membangun dan taraf kehidupan penduduknya juga sudah banyak berubah. Kehidupan seharian menjadi lebih mudah dengan dilengkapi pelbagai kemudahan dan prasarana yang lengkap termasuk mempunyai bekalan air dan elektrik yang sempurna.

Pada masa yang sama, Kuala Linggi juga memiliki produk pelancongannya yang tersendiri seperti Sungai Linggi yang sememangnya cukup sinonim dengan udang galah dan pelbagai jenis ikan sungai seperti senangin, lampam, sembilang dan serkot. Selain itu, telah wujud sebuah taman rekreasi baru berhampiran Sungai Linggi iaitu Taman Lokan yang memiliki keunikannya yang tersendiri. Populariti medan ikan bakar di sini bukanlah sesuatu yang baru di kalangan peminat ikan bakar, antara yang paling terkenal ialah Medan Ikan Bakar Terapung Kuala Sungai Baru dan Port Supai yang menyediakan pelbagai jenis ikan bakar yang segar seperti siakap, jenahak, sotong, kepah dan udang. Manakala Taman Laut Paya pula merupakan produk ekopelancongan hutan paya bakau yang dilengkapi dengan kemudahan penginapan, persiaran jalan kaki dan menara tinjau.

Bukan sahaja terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancong, pelabuhan Kuala Linggi bakal dibangunkan menjadi hab maritim di Selat Melaka. Setakat ini, pelabuhan Kuala Linggi menawarkan pelabuhan kapal ke kapal (STS) yang bertaraf antarabangsa bagi industri kargo cecair dan ia merupakan yang pertama di Malaysia. Melalui konsep STS, kapal yang melalui Selat Melaka hanya perlu berhenti di Hab Perdagangan dan Pemunggahan Terapung Antarabangsa Linggi (LIFT Hub) untuk proses pemindahan sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi lain. Usaha akan dilakukan untuk menjadikan pelabuhan tersebut antara yang tersibuk. Secara tidak langsung, dengan pelbagai pembangunan dan pembaharuan yang berlaku akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dalam meningkatkan taraf hidup masing-masing. Sekiranya berkunjung ke Kuala Linggi, jangan lepaskan peluang untuk meninjau dan melihat sendiri keistimewaan dan pelbagai perkara menarik di sini. (KK14: 16 April 2012)



Terakhir Dikemaskini pada Rabu, 29 Ogos 2012 03:18