Kuala Linggi
Hit Paparan Kandungan : 74534
Keselamatan
Indeks Artikel
Keselamatan
Artikel Asal
Semua Halaman

kk15_kualalinggi_keselamatan

Bot Pengawal

Sebuah bot laju yang dinamakan ‘Pengawal 37’ telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berpangkalan di Kuala Linggi. Bot tersebut yang dibina di Butterworth, Pulau Pinang dengan kos mencecah RM2.6 juta itu menggunakan kuasa enjin MTU 12v 183 TE92. Sebelum diserahkan kepada pihak APMM, bot pengawal berkenaan digunakan oleh Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM). Majlis penyerahan bot Pengawal 37 disempurnakan oleh wakil MTU Services (Malaysia) Sdn. Bhd kepada Ketua Penguat kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Adon Shalan pada Jun 2012 lalu. Penyerahan bot tersebut kepada APMM adalah berikutan penstrukturan semula APMM yang kini merupakan agensi tunggal dalam mengawasi perairan negara.

Setelah hampir setahun melalui proses baik pulih dan peningkatan keupayaan, bot Pengawal 37 atau turut dikenali dengan nama High Speed Inshore Patrol Craft itu telah bersiap sedia berkhidmat di bawah APMM. Menurut Adon, selepas ini bot tersebut akan diletakkan di bawah kawalan operasi ‘Daerah Maritim 5’ Kuala Linggi yang diterajui oleh Kapten Maritim Abu Bakar Idris. Tambah beliau lagi, dengan adanya aset terbaru itu diharap penguatkuasaan undang-undang maritim di Selat Melaka dapat ditingkatkan agar dapat memastikan aktiviti pelanunan mahupun penyeludupan dapat dikekang. Ia sekali gus dapat menjadikan perairan Selat Melaka sebagai laluan selamat untuk sebarang aktiviti perdagangan. (KK15: 25 Jun 2012)


alt

Berkhidmat Untuk Kesejahteraan Negara

 

Keselamatan merupakan satu aspek penting yang perlu diambil berat walau di mana sekalipun kita berada. Lantaran pentingnya keselamatan kepada setiap individu, adalah menjadi peranan sesebuah organisasi di mana kita menetap, memastikan keadaan yang selamat dan selesa.   Di Kampung Kuala Linggi, aspek keselamatan menjadi tanggungjawab Pondok Polis Kuala Linggi.

Di kampung ini juga terdapat Pertubuhan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) yang dianggotai oleh penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang akan melakukan rondaan pada setiap malam. Oleh kerana kedudukan kampung yang berhampiran pantai, Kastam Diraja Malaysia juga mempunyai pejabat di sini. Antara tugas Kastam di sini ialah memantau kegiatan bot-bot yang membawa barang-barang dagangan supaya tidak berlaku penyeludupan.

Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 07 Disember 2012 08:10