Ba Kelalan
Sosioekonomi

Khasiat Tuchuk Lun Bawang

M

asyarakat Ba’ Kelalan turut menghasilkan garam asli yang berkhasiat dikenali sebagai tuchuk yang diperoleh dari telaga yang digali di sekitar Sungai Kunap dan Sungai Muda yang berhampiran sempadan Kalimantan, Indonesia. Telaga air masin yang dikenali sebagai ‘lubang main’ digali oleh penduduk di sini untuk mendapatkan airnya dan dibawa balik ke kawasan kampung. Untuk mendapatkan kira-kira 100 gram tuchuk, pengusahanya perlu menggali telaga antara tiga meter hingga 16 meter dalam.

Seterusnya air garam ini dimasak di dalam kawah besar selama 10 jam sehingga kering sebelum terhasilnya tuchuk. Menariknya, aktiviti memasak garam ini dilakukan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung yang secara tidak langsung mengeratkan persaudaraan di antara mereka selain memperoleh pendapatan secara bersama.

Tuchuk atau garam dipercayai mempunyai khasiat tersendiri khususnya untuk menguatkan bahagian lutut dan boleh memberikan tenaga yang luar biasa kepada tubuh badan manusia. Khasiat atau keistimewaan tuchuk telah mendapat perhatian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk dilakukan penyelidikan terperinci di bidang makanan, kesihatan dan juga perubatan. Seperti garam biasa, tuchuk boleh digunakan sebagai perisa dalam pelbagai masakan atau makanan.

Tuchuk bukan sahaja terkenal di kalangan masyarakat Lun Bawang sejak 100 tahun lampau tetapi juga penggemar-penggemar dari Brunei dan juga Sabah. Malah, masyarakat Cina menggunakannya untuk tujuan perubatan. Oleh itu, jangan terkejut jika sebungkus garam organik itu dijual degan harga tidak kurang RM10.00 malah sehingga RM30.00 yang dibungkus dengan sejenis daun dipanggil daun ilat atau daun buluh.

Di samping tuchuk, penduduk Ba’ Kelalan tidak mensia-siakan tanah yang subur lagi luas kurniaan Tuhan. Pelbagai jenis tanaman diusahakan di atas bumi yang subur ini menjadikan bidang pertanian sebagai sumber ekonomi utama penduduknya. Padi huma yang menghasilkan beras wangi Bario ditanam secara meluas dan secara tidak langsung merupakan komoditi utama penduduk di sini. Seperti yang diketahui umum, Ba’ Kelalan terkenal sebagai kawasan pengeluar epal pertama di Malaysia yang diusahakan oleh keluarga Pak Tagal sebagai sumber ekonomi terpenting keluarganya. Strawberi, oren dan kopi Arabica merupakan tanaman lain yang turut diusahakan para penduduk Lun Bawang.

Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 21 Mei 2010 13:37
 
Hit Paparan Kandungan : 22161