Ba Kelalan
Sejarah

Bila Epal Ditanam?

S

ebanyak 20 batang anak benih epal dibawa dari Batu Malang Indonesia oleh Andrew Balang Paran, 71 tahun pada 1974.  Beliau begitu  teruja melihat penduduk Batu Malang menanam pokok epal di keliling rumah dengan begitu mudah dan hidup subur pula.  Terlintas di benaknya untuk membawa pulang benih pokok itu dan menanam di kampungnya, Buduk Nur, Ba’ Kelalan. Melalui rakan-rakanya di sana, beliau mendapat 20 batang anak benih epal jenis  "Mana Lagi"  secara percuma.

Bagaimanapun, untuk membawanya pulang ke Malaysia, ia perlu mematuhi beberapa syarat antarabangsa yang diguna pakai antaranya penghantaran tumbuh-tumbuhan ke luar negara perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan. Oleh itu, beliau terpaksa mendapatkan kelulusan dan kebenaran mengeksport daripada Jabatan Pertanian Indonesia. Setelah kelulusan diperoleh, Andrew membawanya pulang menaiki pesawat menerusi Singapura sebelum tiba di Kuching dan akhirnya ke Kampung Buduk Nur, Ba ’Kelalan.

Di kampungnya, Andrew tidak berlengah untuk menanam anak-anak pokok epal tersebut  dan mendapati semakin lama ia hidup subur dan membesar. Namun, selepas setahun dia agak kecewa kerana pokok itu masih tidak berbuah. Malah, beliau hampir putus asa tetapi segera mendapatkan nasihat dan bantuan daripada Pejabat Pertanian Daerah Lawas. Menerusi bantuan Pejabat Pertanian, pelbagai usaha dilakukan seperti membubuh baja yang sesuai serta proses mencantum  benih (kacukkan) dengan benih epal yang lain. Namun  sehingga  tahun ketiga ia ditanam, pokok epal tersebut masih tidak  berbuah. Andrew dan anak saudaranya, mendiang Datuk Dr Judson Sakai Tagal dalam usahanya, pernah beberapa kali ke Australia dan Indonesia untuk membeli pelbagai benih epal yang terbaik dan  yang difikirkan boleh hidup di Ba’ Kelalan. 

Namun, semua itu  telah mematahkan semangatnya kerana pohon epal yang ditanam tetap tidak mahu berbuah. Andrew  yang terlalu kecewa dan berputus asa umpama “berkerat rotan, berpatah arang”  telah  menyerahkan  kebun  epal tersebut kepada abangnya, Tagal Paran pada 1977.  Beliau memberitahu abangnya, jika beliau berjaya mengusahakan kebun epal itu sehingga mengeluarkan hasil, itu adalah rezeki kurniaan Tuhan kepadanya. Di tangan  Tagal Paran, pokok epal yang asalnya 20 batang ditambah dan diusahakan dengan tekun serta mendapat bantuan serta  nasihat daripada Pejabat Pertanian.

Menghairankan, selang  setahun kebun epal itu bertukar tangan, ia mula berbuah pada 1978  dan tentunya, Andrew ialah orang yang paling gembira.   Walaupun  telah bertukar tangan tetapi beliau masih tetap berbangga dan berpeluang menyaksikan usahanya itu bukanlah sesuatu yang sia-sia seperti sindiran ramai orang ketika itu.  Bagi Andrew, ia mahu membuktikan kepada dunia, Malaysia juga mampu menjadi pengeluar epal jika ada usaha, kesabaran dan ilmu selain teknologi.

Terakhir Dikemaskini pada Khamis, 25 Mac 2010 03:49
 
Hit Paparan Kandungan : 23377