Ba Kelalan
Populasi

Tradisi Orang Gunung

T

ergolong sebagai masyarakat Orang Ulu di Sarawak, kaum Lun Bawang dahulunya dikenali sebagai kaum Murut, kebanyakannya tinggal di kawasan Lawas, Trusan dan Limbang. Untuk makluman, terdapat kaum Murut  di beberapa daerah di Negeri Sabah. Lun Bawang yang bermaksud ‘Orang Gunung’ dalam bahasa tempatan merupakan penduduk majoriti mendiami Daerah Ba’ Kelalan dengan anggaran 2,100 orang. Sebahagian kecilnya pula merupakan kaum Kelabit yang memiliki cara hidup dan bahasa yang hampir sama dengan kaum Lun Bawang. Kehidupan masyarakat ini belum lagi dicemari  dan mereka masih kuat berpegang kepada adat resam dan seni tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun. Mereka rata-ratanya tinggal di rumah panjang dan bertutur menggunakan bahasa yang sama serta menganut agama Kristian.

Salah satu makanan tradisi kaum Lun Bawang ialah Nuba’ Laya iaitu nasi yang dibungkus dengan daun pisang atau itip. Manakala Telu  ialah daging atau ikan yang diperam dengan garam dan disimpan di dalam buluh selama lebih sebulan. Rasanya agak masam  dan masin  tetapi  sangat digemari oleh masyarakat di sini. Selain itu, narar (daging salai), biter ( bubur sayur), serta kuih-muih yang berasaskan beras seperti ruti benak, kerupuk bera, tinape, pelupis dan nune merupakan antara makanan tradisi yang sering menjadi sajian di kalangan masyarakat Lun Bawang.

Menyingkap sejarah kaum ini, suatu ketika dahulu pakaian kaum lelaki diperbuat daripada kulit kayu yang disebut kuyu talon. Sementara kain yang dililit di kepala pula disebut sigar dan cawat yang dipakai disebut abpar. Senjata berupa parang panjang yang disisip di pinggang dan dibawa ketika berperang disebut pelepet. Wanita Lun Bawang mengenakan hiasan kepala yang disebut  pata, bane di leher,  gileng atau pakel di tangan serta lengan dan beret di bahagian pinggang.

Alat muzik tradisi bagi kaum ini diperbuat daripada buluh yang dimainkan secara berkumpulan. Alat muzik  itu yang dimainkan secara tiupan, dibahagikan kepada dua jenis iaitu suling dan bass. Suling biasanya ditiup oleh kaum wanita manakala bass pula ditiup oleh kaum lelaki. Tarian tradisional kaum Lun Bawang yang dikenali sebagai Warrior Dance ialah Busak Akui dan Alai Ngerang. Terciptanya lagu patriotik, Ba’ Kelalan My Home Sweet Home membuktikan masyarakat di sini amat berbangga dengan kampung halaman tinggalan nenek moyang mereka.

Pesta Irau Aco Lun Bawang yang dirayakan di Bandar Lawas pada 1 Jun setiap tahun. Pesta itu  memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan pelbagai pertunjukan kebudayaan kaum Lun Bawang yang kaya dengan hasil produk tangan seperti manik-manik, baju kulit pokok serta pakaian tradisional mereka. Pertandingan memperagakan pakaian tradisional kaum ini yang terbahagi kepada dua kategori iaitu ruran ulung bagi wanita dan padan liu burung bagi lelaki merupakan acara kemuncak pesta ini.

Tinggal di kawasan yang terpinggir dari dunia luar bukanlah penghalang kepada penduduk Ba’ Kelalan untuk melahirkan generasi yang berjaya dan cemerlang. Ini terbukti dengan lahirnya beberapa tokoh yang banyak menabur jasa kepada masyarakat.  Antara tokoh tersebut,  mendiang Doktor Judson Sakai Tagal yang merupakan Menteri Muda Kesihatan Sarawak sehingga nafas terakhirnya begitu prihatin dan cekal dengan semangat untuk memajukan kaumnya.  

Demikian juga bapa kepada mendiang Doktor Judson, Tagal Paran, 74 tahun yang merupakan orang yang bertanggungjawab menaikkan nama Ba’ Kelalan  menerusi kejayaan beliau mengusahakan kebun epal pertama di Malaysia serta menjadi pemilik tempat penginapan Apple Lodge. Kejayaan mereka menjadi contoh kepada penduduk setempat dan generasi muda khususnya kaum Lun Bawang untuk melakarkan kejayaan yang lebih besar dalam pelbagai bidang. 

Terakhir Dikemaskini pada Jumaat, 21 Mei 2010 13:35
 
Hit Paparan Kandungan : 22167