Ba Kelalan
Pertanian dan Perladangan
Indeks Artikel
Pertanian dan Perladangan
Kemas kini: 15 Dis 2009
Artikel Asal
Semua Halaman

alt

Strawberi Ba’kelalan

Bukan sahaja berjaya dalam penanaman buah epal Sarawak, malah Tagal Paran kini berjaya mengusahakan tanaman pokok strawberi yang dimulakannya sejak 2007 lalu. Usaha itu dilakukan sebagai kesinambungan kejayaan beliau mengusahakan ladang epal di Ba’kelalan beberapa tahun sebelum itu. Bentuk muka buminya yang bertanah tinggi dan beriklim sejuk menjadikan Ba’kelalan bukan sahaja sesuai untuk tanaman epal malahan pokok avokado, oren, markisa dan strawberi. Mengimbas kembali pembabitan warga emas yang berusia 75 tahun ini, percubaan buat julung kalinya itu dilakukan di Budak Nur dan telah melibatkan 1,000 batang anak pokok strawberi yang telah diimport dari Cameron Highlands. Usaha yang menelan belanja kira-kira RM20,000 itu bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang hasil sebaliknya pokok-pokok strawberi mati selepas beberapa bulan ia ditanam.

Kegagalan itu tidak pernah melumpuhkan semangat Tagal, malah dia yakin suatu hari nanti usahanya akan menemui kejayaan. Berbekalkan keyakinan, pada tahun 2008, beliau mendapatkan semula 170 batang anak pokok strawberi dan akhirnya berjaya dibiakkan sebanyak 417 pokok. Kesemua pokok ditempatkan di dalam pasu plastik dan disusun di atas rak yang dibina khas. Kini, beliau mampu mengukir senyuman apabila kesemua tanamannya itu telah mengeluarkan hasil. Menurut Pengerusi Rata Farm Sdn Bhd ini, teknik-teknik penanaman strawberi telah dipelajari daripada mereka yang pakar dalam bidang ini. Manakala struktur bumbung kalis air menjadi pilihan supaya ia dapat melindungi pokok-pokok strawberi daripada terdedah kepada cahaya matahari dan hujan. Jika mendapat pendedahan yang berlebihan, fenomena alam itu boleh menyebabkan pokok-pokok menjadi rosak. Beliau juga menggunakan sistem fertigasi (campuran air dan baja) untuk menyuburkan lagi tanamannya itu pada kadar yang diperlukan.

Strawberi memerlukan penjagaan rapi dan perlu disiram setiap hari. Buah strawberi yang sudah masak juga perlu dipetik segera bagi mengelak rosak atau dimakan ulat. Selain itu, pilihan baja yang sesuai juga perlu dititikberatkan. Walaupun pada masa kini, purata berat buah strawberi yang telah dipetik kurang daripada 20 kilogram, Tagal berpuas hati kerana percubaan keduanya itu telah menemui kejayaan. Harga sekilogram strawberi yang melebihi RM10.00 di sekitar kawasan Miri menyebabkan beliau memilih bandar itu sebagai tempat permulaan untuk memasarkan hasil tanamannya. Beliau turut bercadang menghasilkan jem strawberi Ba’kelalan dan memasarkannya bersama produk-produk lain yang sudah dikenali ramai seperti beras Bario, garam gunung dan epal. Bagi meningkatkan lagi keluaran strawberinya, Tagal telah membeli 400 anak pokok strawberi dari Kundasang, Sabah dan 2,000 anak pokok epal dari Batu Malang Indonesia. Tagal yang berhasrat ingin menanam anggur pada masa akan datang, kini telah mempunyai 10 hektar ladang epal di Ba’kelalan. (Kemas kini: 15 Mac 2010)



Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 28 September 2010 03:41
 
Hit Paparan Kandungan : 23374