Ba Kelalan
Perikanan dan Penternakan
Indeks Artikel
Perikanan dan Penternakan
Artikel Asal
Semua Halaman

alt

Ternak Kerbau Jadi Kemestian

Bukan sahaja terkenal dengan ladang epal, Ba’kelalan turut dikenali sebagai kawasan penternakan kerbau daging. Salah seorang penternak, Kading Sultan mempunyai tiga ekor kerbau jantan dan beberapa ekor kerbau betina. Menurut Kading, tenaga kerbau amat diperlukan di Ba’kelalan terutama untuk kerja-kerja menarik kayu balak dari dalam hutan. Menurutnya, pemilik-pemilik kerbau di Ulu Ba’kelalan menambat kerbau masing-masing di kawasan hutan yang terletak tidak jauh dari kawasan kampung. Pagar digunakan untuk menandakan kawasan masing-masing agar pemilik tidak terambil kerbau orang lain. Jelas beliau, tidak sukar untuk mendapatkan bekalan makanan haiwan tersebut kerana rumput mudah diperoleh di  sekitar kampung atau hutan berhampiran.

Menceritakan pengalamannya, lelaki Murut Lunbawang itu memberitahu, dahulu kerbau-kerbaunya dijaga oleh bapa beliau, Sultan Libang. Bagaimanapun, setelah usia bapa Kading menginjak lebih separuh abad, orang tuanya itu tidak mampu lagi melakukan kerja-kerja menternak. Menurut beliau lagi, pada awal pembabitan, bapanya telah membeli seekor kerbau jantan dewasa daripada salah seorang penternak di  Ba’kelalan dengan harga  RM1,000. Oleh kerana tidak mempunyai pasangan, kerbau tersebut telah ditambat bersama kerbau-kerbau betina milik saudara mara mereka di kawasan hutan yang sama. Akhirnya, kerbau-kerbau betina mula bunting dan berjaya melahirkan anak-anak yang baru. Bapa kepada tiga orang anak itu memberitahu, selain untuk keperluan sendiri, kerbau yang berusia lima tahun atau lebih akan dibawa ke Pekan Lawas untuk dipasarkan kepada pelanggan-pelanggan yang berminat. Katanya, pada masa kini, harga bagi seekor kerbau dewasa tidak kurang daripada RM1,500. (Kemas Kini: 15 Disember 2009 - Oleh: Noraini Mahyan)



Terakhir Dikemaskini pada Rabu, 01 September 2010 06:13
 
Hit Paparan Kandungan : 22170