Engkilili
Sarawak Bumi Kenyalang
Wanita
Indeks Artikel
Wanita
Kemas Kini: 22 Jul 2010
Artikel Asal
Semua Halaman

alt

Ratu Ibu Gawai Dayak 2011

Kemeriahan dan keunikan sambutan Gawai Dayak 2011 dalam kawasan Engkilili, turut dikongsi bersama penganjuran Pertandingan Ratu Ibu Gawai Dayak Engkilili 2011 pada Mei 2011 lalu. Pertandingan Ratu Ibu yang berlangsung diadakan di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Lubok Antu/Engkilili, baru-baru ini nyata menggantikan acara Pekit Kumang Gawai Dayak yang lazimnya dianjurkan oleh ramai pihak ketika menjelang sambutan Gawai. Dalam pertandingan itu Diana anak Rejab telah dinobatkan sebagai Ratu Ibu Gawai 2011 yang diadakan sempena Majlis Merarau Pra Gawai anjuran Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Engkilili itu. Manakala Naib johan pula disandang oleh Rundai anak Ugap dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Shirly Garu.

Kehadiran para pengunjung yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum secara tidak langsung menterjemahkan persefahaman dan perpaduan masyarakat majmuk di negeri ini. Malah, program tersebut mampu mempromosikan Sarawak kepada pelancong tempatan mahupun antarabangsa sekali gus menjana pendapatan negeri. Program dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, YB Dato Sri Douglas Uggah anak Embas. Turut hadir, Ahli Parlimen Lubok Antu, YB William Nyalau Badak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), YB Dr Johnnical Rayong anak Ngipa. Majlis turut dimeriahkan dengan Pertandingan Karaoke yang menyaksikan Diah anak Gundol muncul sebagai sambil diikuti oleh Shirly Garu dan Rano anak Ansang yang menduduki tempat kedua dan ketiga dalam acara terbabit. (KK10: 9 Jun 2011 Oleh: Zanariah Abdullah)


Program Nur Bestari

Menyedari bahawa masih ramai golongan wanita yang kurang peka mengenai isu-isu terkini berkaitan masalah kesihatan wanita, maka Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Sarawak bagi Parlimen Lubok Antu mengambil langkah proaktif menganjurkan Program Nur Bestari dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman bertempat di Dewan Serba Guna Lubok Antu pada 15 Julai 2010 lepas. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kaum wanita terutama yang berada di luar kawasan bandar. Selain bertujuan meningkatkan kesedaran berkaitan masalah kesihatan wanita, program yang dihadiri seramai 210 peserta dari daerah kecil Engkilili dan Lubok Antu ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan di kalangan mereka.

Program sehari tersebut juga bertujuan meningkatkan lagi kepekaan dan keupayaan peserta menghayati isu-isu pembangunan dari perspektif jantina masing-masing. Pada masa yang sama, Program Nur Bestari juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai prosedur, hak, akta serta aspek perundangan yang berkaitan dengan wanita. Antara topik-topik kesihatan yang dibincangkan menerusi program tersebut ialah Wanita Dan Penyakit Kelamin di Kalangan Wanita, Kepentingan Pemeriksaan Payu Dara dan Kepentingan Membuat Pemeriksaan Pap Smear. Selain itu, satu sesi dialog juga turut diadakan bersama para peserta untuk membincangkan masalah-masalah yang berbangkit. Sementara itu pada sebelah petangnya, para peserta berpeluang melakukan ujian pap smear bertempat di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Engkilili sehingga jam 5.00 petang. (KK6: 22 Julai 2010)


Pantang Larang Wanita Mengandung

Wanita Iban khususnya di Engkilili membantu kaum lelaki menguruskan kegiatan ekonomi seperti berkebun dan mengerjakan sawah padi. Sungguhpun begitu terdapat sebilangan wanita yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga, membuka gerai makan, menjual hasil pertanian dan sebagainya. Mereka juga terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan menyertai Gerembung Indu atau lebih dikenali sebagai Persatuan Kaum Dayak. Melalui Gerembung Indu, mereka menganjurkan kelas jahitan, kelas tarian, kelas masakan dan senaman aerobik serta menjayakan pelbagai program untuk penduduk setempat.

Wanita kaum Iban juga masih mengamalkan amalan berpantang larang mengikut adat dalam kehidupan seharian terutamanya semasa menyambut kelahiran bayi dan majlis keramaian. Menurut penduduk kampung yang hanya dikenali sebagai Haizizi, sekiranya mereka tidak mengikuti pantang larang berkenaan, kesannya kepada diri sendiri terutama dalam aspek keselamatan dan kesihatan. Misalnya semasa ibu sedang mengandung tujuh bulan, mereka dilarang menanam pokok pisang dikhuatiri anak yang dilahirkan mempunyai kepala yang besar. Bahkan si suami juga tidak boleh melakukan perkara yang kebiasaan dilakukan ketika isterinya sedang mengandung. Antaranya mengetuk telur dengan pisau atau kayu bagi mengelakkan bayi di dalam kandungan dilahirkan cacat penglihatan. Mereka juga dilarang menggali parit di kawasan penanaman padi kerana bimbang akan menyebabkan pendarahan semasa melahirkan anak kelak.

Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 10 Januari 2012 03:32
 

Perpustakaan Awam Majlis Daerah Lubok Antu Engkilili 95800 Lubok Antu Sarawak

Hit Paparan Kandungan : 79795
Kemas Kini :
09-05-2013 02:55