Engkilili
Sarawak Bumi Kenyalang
Pertanian dan Perladangan - Kemas Kini: 22 Jul 2010
Indeks Artikel
Pertanian dan Perladangan
Kemas Kini: 22 Jul 2010
Kemas kini: 22 Disember 2009
Kemas Kini: 29 Jun 2009
Artikel Asal
Semua Halaman

Projek Penanaman Semula Getah

Kampung Melayu Engkilili dan Kampung Sigak muncul sebagai kampung pertama dalam bahagian Sri Aman yang akan memulakan projek Penanaman Semula Getah bermula Julai lepas.  Projek yang mendapat bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA ini bakal melibatkan penanaman semula getah di atas tanah berkeluasan 24 hektar milik 29 peserta dari kedua-dua kampung berkenaan.  Memetik laporan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan, Pembantu Pertanian RISDA, Mohd Izuwan Yahya berkata, peserta dari kedua-dua kampung tersebut merupakan pihak yang pertama mendapat kelulusan sementara Bantuan Tanam Semula daripada pihak RISDA sebelum ini.  Menurut Izuwan, Bantuan Tanam Semula bernilai RM10,000 untuk satu hektar tanah milik pemohon ini akan membolehkan kesemua 29 peserta terbabit memulakan kerja-kerja penanaman semula getah di tanah masing-masing.

Menerusi projek berkenaan katanya, kesemua peserta dijangka akan mampu meraih hasil perolehan getah sebanyak 2,000 kilogram setahun bagi setiap hektar tanah yang terlibat dalam projek ini.  Difahamkan, antara tujuan RISDA memperkenalkan Bantuan Tanam Semula adalah untuk membantu mengurangkan kadar kemiskinan penduduk dalam negara ini khususnya di bahagian Sri Aman.  Justeru itu katanya, pihak RISDA juga telah membuka pejabat cawangan baru mereka di Jalan Hospital (bangunan Peach Court) dalam Bandar Sri Aman dan telah memulakan operasinya pada 1 Julai demi mempertingkatkan lagi usaha membasmi kemiskinan di daerah ini.  Sehubungan itu, penduduk dari kawasan Sri Aman yang berminat untuk melibatkan diri dalam projek penanaman getah digalakkan serta dinasihatkan supaya tidak melepaskan peluang untuk memohon bantuan daripada RISDA.

Selain Bantuan Tanam Semula, RISDA juga menawarkan Bantuan Peningkatan Produktiviti Getah (PPG), Bantuan Projek Prasarana dan Bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).  Untuk Bantuan Tanam Semula, RISDA memperuntukkan sejumlah RM10,000 bagi satu hektar tanah terhadap mana-mana pemohon yang berminat untuk mengusahakan getah di tanah masing-masing.   Syaratnya, tanah pemohon harus mempunyai minimum tanaman getah tidak kurang dari sesuku ekar dan tidak melebihi 100 ekar, memiliki surat hak milik tanah yang sah dan tanah yang hendak ditanam semula mesti mempunyai pokok getah yang sedang ditoreh.  Bantuan bernilai RM10,000 yang sebelum ini dikhaskan oleh RISDA untuk negeri Sabah dan Sarawak akan dibayar sebanyak enam peringkat selama empat tahun setengah kepada pemohon yang berjaya.

Sementara itu, Bantuan Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) pula, pihak RISDA memperuntukkan bantuan sebanyak RM1,000 bagi satu hektar tanah kepada pemohon yang berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu mempunyai kebun getah, tanaman getah yang sedang diperoleh dan kebun getah yang sudah dilawat oleh pihak RISDA.  Input bantuan bernilai RM1,000 ini akan diberikan dalam bentuk baja, racun rumpai, kimia dan penggalak susu.  Bantuan Projek Prasarana pula lebih memberi fokus terhadap pembinaan jalan pertanian, pembentung, parit serta jambatan di mana bantuan ini akan diberikan kepada pemohon dari kawasan getah berkelompok sahaja.  Manakala Bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) akan diberi kepada pemohon yang mempunyai kebun ditanam semula oleh RISDA, mempunyai pendapatan tidak lebih dari RM1,500 sebulan dan mampu menjalankan projek yang dipohon.  Kadar bantuan AET bernilai RM10,000 ini terbahagi kepada Bantuan Ternakan (lembu, kambing, ayam dan ternakan ikan air tawar), Bantuan Tanaman (pisang, nanas dan lain-lain tanaman jangka pendek) dan Bantuan Industri Kecil (makanan ringan dan kraftangan).  (KK6:  22 Julai 2010)



Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 17 Januari 2012 03:17
 

Perpustakaan Awam Majlis Daerah Lubok Antu Engkilili 95800 Lubok Antu Sarawak

Hit Paparan Kandungan : 79782
Kemas Kini :
09-05-2013 02:55