Engkilili
Sarawak Bumi Kenyalang
Pertanian dan Perladangan
Indeks Artikel
Pertanian dan Perladangan
Kemas Kini: 22 Jul 2010
Kemas kini: 22 Disember 2009
Kemas Kini: 29 Jun 2009
Artikel Asal
Semua Halaman

pertanian_engkilili_kk3

75 Hektar Di Bangun Untuk Projek Penanaman Getah

Seluas 75 hektar tanah di kawasan Plasok, Skrang dalam kawasan daerah kecil Engkilili, Sri Aman bakal dibangunkan dengan projek penanaman getah oleh Jabatan Pertanian Sarawak dalam masa terdekat kelak.  Ahli Parlimen Lubok Antu, YB William Nyalau anak Badak berkata, projek penanaman getah ini  akan membabitkan sebanyak 34 buah keluarga daripada Rumah Mani Panau, Plasok Skrang, Engkilili dengan kos peruntukan sebanyak RM350,600.  Menurutnya, projek penanaman getah tersebut akan membuka laluan buat penduduk di kawasan Engkilili bagi mempertingkatkan taraf hidup ekonomi masing-masing sebaik sahaja ia dilaksanakan kelak.  Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis ‘Ngelasi Tanah’ (upacara berbentuk keagamaan mengikut kepercayaan adat Iban) untuk projek penanaman getah di kawasan Rumah Mani pada 1 Oktober 2010 lepas.

Pada masa yang sama, beliau mahu penduduk luar bandar khasnya dari kawasan luar bandar untuk lebih aktif membabitkan diri dalam aktiviti pertanian penanaman getah atau kelapa sawit berikutan kedua-dua komoditi tersebut berada dalam pasaran yang stabil dan mendapat permintaan yang tinggi.  Menurutnya lagi, sektor pertanian getah dan kelapa sawit lebih mudah diuruskan di kawasan luar bandar berbanding tanaman-tanaman komersial lain.  Justeru itu, beliau menggalakkan penduduk rumah panjang untuk memohon Projek Mini Kebun Getah daripada Jabatan Pertanian.  Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, YB Dr Johnnical Rayong Ngipa.  (KK7:  20 Oktober 2010)


Projek Penanaman Semula Getah

Kampung Melayu Engkilili dan Kampung Sigak muncul sebagai kampung pertama dalam bahagian Sri Aman yang akan memulakan projek Penanaman Semula Getah bermula Julai lepas.  Projek yang mendapat bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah atau RISDA ini bakal melibatkan penanaman semula getah di atas tanah berkeluasan 24 hektar milik 29 peserta dari kedua-dua kampung berkenaan.  Memetik laporan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan, Pembantu Pertanian RISDA, Mohd Izuwan Yahya berkata, peserta dari kedua-dua kampung tersebut merupakan pihak yang pertama mendapat kelulusan sementara Bantuan Tanam Semula daripada pihak RISDA sebelum ini.  Menurut Izuwan, Bantuan Tanam Semula bernilai RM10,000 untuk satu hektar tanah milik pemohon ini akan membolehkan kesemua 29 peserta terbabit memulakan kerja-kerja penanaman semula getah di tanah masing-masing.

Menerusi projek berkenaan katanya, kesemua peserta dijangka akan mampu meraih hasil perolehan getah sebanyak 2,000 kilogram setahun bagi setiap hektar tanah yang terlibat dalam projek ini.  Difahamkan, antara tujuan RISDA memperkenalkan Bantuan Tanam Semula adalah untuk membantu mengurangkan kadar kemiskinan penduduk dalam negara ini khususnya di bahagian Sri Aman.  Justeru itu katanya, pihak RISDA juga telah membuka pejabat cawangan baru mereka di Jalan Hospital (bangunan Peach Court) dalam Bandar Sri Aman dan telah memulakan operasinya pada 1 Julai demi mempertingkatkan lagi usaha membasmi kemiskinan di daerah ini.  Sehubungan itu, penduduk dari kawasan Sri Aman yang berminat untuk melibatkan diri dalam projek penanaman getah digalakkan serta dinasihatkan supaya tidak melepaskan peluang untuk memohon bantuan daripada RISDA.

Selain Bantuan Tanam Semula, RISDA juga menawarkan Bantuan Peningkatan Produktiviti Getah (PPG), Bantuan Projek Prasarana dan Bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).  Untuk Bantuan Tanam Semula, RISDA memperuntukkan sejumlah RM10,000 bagi satu hektar tanah terhadap mana-mana pemohon yang berminat untuk mengusahakan getah di tanah masing-masing.   Syaratnya, tanah pemohon harus mempunyai minimum tanaman getah tidak kurang dari sesuku ekar dan tidak melebihi 100 ekar, memiliki surat hak milik tanah yang sah dan tanah yang hendak ditanam semula mesti mempunyai pokok getah yang sedang ditoreh.  Bantuan bernilai RM10,000 yang sebelum ini dikhaskan oleh RISDA untuk negeri Sabah dan Sarawak akan dibayar sebanyak enam peringkat selama empat tahun setengah kepada pemohon yang berjaya.

Sementara itu, Bantuan Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) pula, pihak RISDA memperuntukkan bantuan sebanyak RM1,000 bagi satu hektar tanah kepada pemohon yang berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu mempunyai kebun getah, tanaman getah yang sedang diperoleh dan kebun getah yang sudah dilawat oleh pihak RISDA.  Input bantuan bernilai RM1,000 ini akan diberikan dalam bentuk baja, racun rumpai, kimia dan penggalak susu.  Bantuan Projek Prasarana pula lebih memberi fokus terhadap pembinaan jalan pertanian, pembentung, parit serta jambatan di mana bantuan ini akan diberikan kepada pemohon dari kawasan getah berkelompok sahaja.  Manakala Bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) akan diberi kepada pemohon yang mempunyai kebun ditanam semula oleh RISDA, mempunyai pendapatan tidak lebih dari RM1,500 sebulan dan mampu menjalankan projek yang dipohon.  Kadar bantuan AET bernilai RM10,000 ini terbahagi kepada Bantuan Ternakan (lembu, kambing, ayam dan ternakan ikan air tawar), Bantuan Tanaman (pisang, nanas dan lain-lain tanaman jangka pendek) dan Bantuan Industri Kecil (makanan ringan dan kraftangan).  (KK6:  22 Julai 2010)


Keenakan Durian Engkilili

Musim durian sentiasa dinanti-nantikan oleh penduduk Pekan Engkilili terutamanya penggemar raja buah tersebut. Buah durian di pekan ini terkenal kerana isinya yang enak dan ulasnya yang bersaiz besar. Lazimnya penduduk di Pekan Engkilili membeli buah durian di pasar tamu yang dibuka pada setiap hari. Terdapat juga penduduk yang menjual buah durian di gerai-gerai kecil yang dibina di sepanjang jalan menuju ke Pekan Engkilili. Orang ramai yang melalui jalan tersebut jarang melepaskan peluang untuk singgah membeli buah durian kerana harganya lebih murah dan keadaan buahnya juga lebih segar. Pembeli boleh mendapatkan tiga hingga empat biji buah durian yang bersaiz sederhana pada harga RM10.00 sahaja. Selain itu, mereka boleh membuat tawar menawar di samping boleh memilih sendiri buah yang berkeadaan baik. Bagi pembeli yang tidak sabar untuk menikmati rasa durian tersebut, mereka boleh makan di situ juga.

Pemborong buah-buahan juga gemar membeli buah durian dari pekebun di Pekan Engkilili untuk dijual semula ke tempat lain. Biasanya para pekebun sangat berpuas hati dengan hasil lumayan yang diperolehi setiap kali tibanya musim buah tersebut. Pekebun buah durian biasanya tinggal di kebun masing-masing pada sebelah malam sehingga menjelang subuh untuk menunggu buah tersebut jatuh dan seterusnya dikumpulkan sebelum dijual kepada pembeli. Ia bertujuan untuk mengelakkan buah durian terbiar terlalu lama atau mengelakkan kejadian mencuri buah durian. Penduduk dari Kampung Empelam, Kampung Meriyo Nanga dan Kampung Sungai Keroh merupakan antara pekebun yang menjual durian di Pekan Engkilili. (Kemas kini: 22 Disember 2009)

 


kk1_engkilili_tani

Meningkatkan Ekonomi

Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) telah banyak membantu penduduk luar bandar terutamanya masyarakat Dayak di negeri Sarawak dalam meningkatkan taraf ekonomi kaum itu dengan mengusahakan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik mereka. Di Kampung Memaloi, Engkilili, SALCRA telah berjaya mengubah taraf hidup beberapa buah keluarga yang tinggal di Rumah Panjang Asan dengan memberikan dividen berjumlah RM10,000 setahun untuk setiap keluarga.

Melalui kerjasama ini, kawasan tanah yang dimiliki oleh penduduk-penduduk kampung telah dimajukan oleh SALCRA. Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) itu dimajukan menerusi projek penanaman pokok kelapa sawit yang melibatkan tanah seluas 2,162 hektar. Tanah-tanah yang dijadikan kawasan tanaman pokok kelapa sawit dimiliki oleh 825 orang penduduk Kampung Memaloi. Disebabkan projek tanaman kelapa sawit diusahakan oleh pihak SALCRA, pemilik-pemilik tanah hanya menerima imbuhan setiap bulan bergantung kepada hasil yang diperolehi dan juga keluasan tanah mereka.

Ladang-ladang kelapa sawit yang dibuka oleh (SALCRA) secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat untuk menambah pendapatan dan meningkatkan taraf hidup keluarga mereka. Projek pembangunan tanah seperti itu bukan sahaja mampu memberi pendapatan lumayan kepada pemilik tanah NCR malah, turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi sektor pertanian di Malaysia.

Di Kampung Mamaloi, penduduk-penduduk yang berkemampuan dan mempunyai modal mencukupi mampu mengusahakan tanah sendiri dengan menanam pelbagai jenis tanaman. Bagaimanapun, di kalangan penduduk yang tidak berkemampuan pula, mereka bertindak bijak apabila membuat keputusan untuk bekerjasama dengan SALCRA. Ini kerana SALCRA juga mampu memberikan pendapatan kepada pemilik-pemilik tanah yang terlibat walaupun mereka hanya duduk di rumah. (Kemas Kini: 29 Jun 2009 - Oleh: Siti Hazilah)

 


PertanianPertanian Menambah Pendapatan

Kawasan Engkilili memiliki pelbagai jenis tanaman yang boleh dilihat di sekitar pekan dan di kampung-kampung berdekatan. Di Kampung Merindun, terdapat aktiviti perladangan kelapa sawit yang diselia sepenuhnya oleh Lembaga Perancangan Dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA). Penduduk di sini juga mengusahakan tanaman padi bukit untuk keperluan keluarga masing-masing. Terdapat banyak sawah bendang di sepanjang jalan dan ia memberikan panorama yang menarik.

Selain itu, ada di kalangan penduduk kampung yang menanam buah-buahan bermusim seperti pokok Rambutan, Durian, Cempedak. Penduduk juga memanfaatkan tanah di sekitar kawasan rumah dengan menanam buah-buahan bermusim seperti pokok Jambu Air dan pokok Nangka.

Kebiasaannya, apabila tiba musim buah-buahan, buah durian, rambutan dan cempedak akan dibeli oleh peraih dari Kuching dan dijual di tepi-tepi jalan dan di Pasar Sri Aman. Purata pendapatan bagi sektor pertanian di kawasan Engkelili sukar untuk dipastikan kerana penduduk di kawasan ini hanya mengusahakan bidang tersebut sebagai sumber pendapatan sampingan.

Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 17 Januari 2012 03:17
 

Perpustakaan Awam Majlis Daerah Lubok Antu Engkilili 95800 Lubok Antu Sarawak

Hit Paparan Kandungan : 79789
Kemas Kini :
09-05-2013 02:55