Engkilili
Sarawak Bumi Kenyalang
JKKK - Laman 4
Indeks Artikel
JKKK
Kemas Kini: 10 Jun 2010
Kemas Kini: 28 Sept 2009
Artikel Asal
Semua Halaman

JKKKJKKK "Mata" Dan "Telinga" Kerajaan

Engkilili diurus tadbir oleh Pejabat Daerah Kecil Engkilili yang terletak di Daerah Lubuk Antu yang diasaskan pada awal tahun 1950-an. Pada awal penubuhannya, pejabat daerah ini didirikan di sebuah penempatan di atas tapak Majlis Daerah Lubuk Antu sebelum berpindah pada tahun 1960-an di Pekan Engkilili. Pentadbirannya dikendalikan oleh seorang Pegawai Tadbir, Penolong Pegawai Tadbir dengan bantuan dua Pembantu Tadbir dan seorang Pembantu Tadbir Rendah serta 10 orang Pembantu Am. Menurut Pegawai Tadbir, Barayan Lenya, Pejabat Daerah Kecil Engkilili menjadi agen kepada pihak kerajaan negeri dan persekutuan untuk memajukan kawasan kampung sekitarnya. Selain itu, ia juga dijadikan platform oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menyalurkan sebarang peruntukan pada rakyat dan sebaliknya rakyat boleh mengemukakan permasalahan kepada pihak kerajaan.

Untuk merapatkan hubungan persaudaraan antara penduduk kampung, Ahli Parlimen Lubok Antu, YB William Nyalau Anak Badak sentiasa menganjurkan pelbagai majlis yang melibatkan penyertaan dari JKKK dan penduduk. Pada 2009 yang lepas misalnya, YB William merasmikan Program Kursus Ummah bersama-sama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Rumah Engkabie di Engkilili. Semasa program berkenaan berjalan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cawangan Kampung San Semanju, wakil bagi penduduk rumah panjang Engkilili menerima peruntukan bernilai RM10,000 dan RM3,000 bagi memajukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP). Melalui peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan, JKKK menjadi penggerak kepada aktiviti kemasyarakatan selain menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam menyalurkan peruntukan pembangunan. Kata Barayan, sebelum peruntukan disalurkan oleh kerajaan untuk membina jalan raya, balai raya, membaiki kediaman dan pelbagai kemudahan, JKKK diberi tanggungjawab untuk menilai peruntukan yang diperlukan.

Selain itu, pentadbiran di Engkilili di terajui oleh seorang Temenggung yang mentadbir dan menjalankan tugas dari wakil masyarakat dari pelbagai kaum terutamanya Iban, Cina dan Melayu. Temenggung mewakili kawasan Sri Aman akan melaporkan sebarang permasalahan dan turut memberi penerangan tentang pembangunan yang akan dilakukan oleh Pejabat Daerah Kecil Engkilili. Temenggung turut dibantu oleh Pemanca yang bernama Tay Ban Cho yang mewakili seluruh kaum Cina dari Lubuk Antu. Pemanca juga digelari sebagai Ketua Penghulu yang menjadi perantaraan antara pejabat daerah dengan penduduk kampung. Sebenarnya Pemanca dibantu oleh sembilan orang penghulu yang memperuntukkan tujuh jawatan pada kaum Iban, satu Cina dan Melayu. Tugas Penghulu pula adalah untuk menjaga, mengawal dan menyalurkan maklumat kampung kepada pihak berkuasa pentadbiran serta memelihara budaya dan adat resam masing-masing.

 



Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 17 Januari 2012 03:19
 

Perpustakaan Awam Majlis Daerah Lubok Antu Engkilili 95800 Lubok Antu Sarawak

Hit Paparan Kandungan : 78178
Kemas Kini :
09-05-2013 02:55