Engkilili
Sarawak Bumi Kenyalang
JKKK
Indeks Artikel
JKKK
Kemas Kini: 10 Jun 2010
Kemas Kini: 28 Sept 2009
Artikel Asal
Semua Halaman

kk1_engkilili_jkkk

Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR)

Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman telah memulakan kerja menyukat Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Kampung Bukong, Engkilili iaitu kawasan pertama di Sri Aman yang disukat di bawah Inisiatif Baru NCR pada 20 September lepas.  Kerja-kerja penyukatan di lapangan yang dijangka siap dalam tempoh 21 hari itu telah melibatkan keluasan tanah sebanyak 454 hektar milik 350 penduduk rumah panjang dari kawasan terbabit.  Penguasa JTS Bahagian Sri Aman, Majuan Jeraie menerusi taklimatnya menjelaskan, kerja penyukatan melibatkan 50 penduduk rumah panjang Bukong, Skandis dan Danau, Engkilili bertujuan untuk menentukan sempadan tanah NCR masing-masing.

Menurut beliau, tanah NCR yang akan disukat ini nanti akan diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan akan disimpan di JTS dan Pejabat Daerah Sri Aman.  Beliau menjelaskan, satu salinan warta akan diberi kepada ketua kaum tempatan sebagai bukti bahawa Tanah NCR di kawasan Kampung Bukong telah disukat dan menjadi hak milik sah komuniti di situ.  Difahamkan juga, hak ke atas tanah NCR yang di warta akan ditadbir oleh undang-undang mengikut adat kaum masing-masing dan dengan kata lain, perkara yang berkaitan dengan perolehan, pindah milik, transmisi hak dan keistimewaan ke atas tanah, bangunan atau struktur di dalamnya adalah tertakluk kepada undang-undang adat kaum berkenaan.  Selain itu pemilik tanah akan mengetahui sekiranya wujud pencerobohan ke atas tanah mereka kerana sempadan tanah akan jelas diketahui selepas kerja penyukatan tanah terbabit selesai.

Majuan juga menambah bahawa kerja penyukatan tanah NCR ini akan diteruskan sehingga ke penghujung Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK 10) iaitu hingga akhir tahun 2015 ini.  Matlamatnya adalah untuk memastikan semua tanah NCR dalam negeri Sarawak disukat dan para pemilik menerima surat hak milik sebagai jaminan bahawa tanah NCR adalah milik mereka di negeri ini.  Terdahulu Tuai Rumah (Tr) Pawi anak Lamoh dari Kampung Danau, Engkilili turut melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional dan JTS kerana merealisasikan impian penduduk berhubung isu menyukat tanah NCR yang seterusnya menjamin khazanah nenek moyang mereka selepas ini.  (KK7:  20 Oktober 2010)


Peruntukan Geran Projek Kecil Luar Bandar

Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili akan mendapat manfaat menerusi pelaksanaan pelbagai Projek Kecil Luar Bandar (MRP). ADUN Engkilili YB Dr Johnical Rayong Ngipa menyerahkan geran MRP sebanyak RM368,000 kepada beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan persatuan di kawasan pilihan rayanya dalam Majlis Gawai Dayak Bersama YB anjuran JKKK Gaie @ Maing Lidong, Betong di Balai Raya Skim Skrang pada 6 Jun 2010 lepas. Menurut YB Dr Rayong, geran berkenaan adalah sebahagian daripada yang diperuntukkan kepadanya dan yang selebihnya akan diagihkan pada masa akan datang. Sehubungan itu, beliau berharap JKKK dan persatuan yang sudah mendapat peruntukan MRP ini agar menggunakan peruntukan berkenaan dengan sebaik-baiknya untuk memajukan rumah panjang dan kampung masing-masing.

Sementara itu kata YB Dr Rayong lagi, masyarakat berbilang kaum yang tinggal di luar bandar umpamanya amat beruntung kerana kebanyakan projek pembangunan telah dilaksanakan hasil perpaduan mereka dan ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Katanya, sekiranya masyarakat berbilang kaum di negeri ini tidak mewujudkan hubungan perpaduan di kalangan mereka nescaya sukar untuk kerajaan negeri melaksanakan sebarang projek pembangunan di sesebuah kawasan dan ini akan mendatangkan kerugian buat diri mereka sendiri. Justeru itu, YB Dr Rayong berharap agar hubungan perpaduan dan keharmonian sentiasa berkekalan di kalangan masyarakat berbilang kaum supaya mereka sama-sama bergabung tenaga dalam memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan untuk mempercepatkan lagi proses pembangunan negeri. (KK5: 10 Jun 2010)


Menikmati Pembangunan

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rumah Panjang Darai dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak, telah menganjurkan Majlis Pemimpin Bertemu Rakyat pada 15 Ogos 2009 di Rumah Panjang Darai. Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubuk Antu, William Nyalau Badak dan dihadiri oleh 40 orang Tuai Rumah serta 700 orang penduduk dari sekitar rumah panjang di Daerah Kecil Engkilili. Turut hadir menyerikan majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa, Pegawai Penerangan Parlimen JASA Lubuk Antu, Geoffery Baja Ricky, Pembantu Luar Kanan JASA Engkilili, Edwin Ancheh serta para kakitangan kerajaan dari sekitar daerah kecil tersebut.

Dr Johnical Rayong Ngipa yang berucap di majlis tersebut menyeru seluruh penduduk rumah panjang agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak pemaju dalam melaksanakan projek pembangunan di kawasan mereka. Menurut beliau lagi, sikap sesetengah penduduk rumah panjang yang menghalang pihak pemaju atau syarikat yang melaksanakan projek kerajaan di kawasan mereka adalah satu tindakan yang kurang bijak. Rayong juga menasihati penduduk Iban di kawasan rumah panjang agar mempertahankan kemajuan yang telah mereka kecapi untuk tetap menikmati pembangunan pada masa hadapan.

Menerusi majlis tersebut, Rayong turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM7,000 kepada JKKK Rumah Panjang Darai dan RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Panjang rumah itu. Sementara itu, Nyalau turut bersedia untuk menyalurkan peruntukkan sebanyak RM200,000 bagi menaik taraf jalan masuk ke rumah panjang terbabit. (Kemas Kini: 28 September 2009)

 


JKKKJKKK "Mata" Dan "Telinga" Kerajaan

Engkilili diurus tadbir oleh Pejabat Daerah Kecil Engkilili yang terletak di Daerah Lubuk Antu yang diasaskan pada awal tahun 1950-an. Pada awal penubuhannya, pejabat daerah ini didirikan di sebuah penempatan di atas tapak Majlis Daerah Lubuk Antu sebelum berpindah pada tahun 1960-an di Pekan Engkilili. Pentadbirannya dikendalikan oleh seorang Pegawai Tadbir, Penolong Pegawai Tadbir dengan bantuan dua Pembantu Tadbir dan seorang Pembantu Tadbir Rendah serta 10 orang Pembantu Am. Menurut Pegawai Tadbir, Barayan Lenya, Pejabat Daerah Kecil Engkilili menjadi agen kepada pihak kerajaan negeri dan persekutuan untuk memajukan kawasan kampung sekitarnya. Selain itu, ia juga dijadikan platform oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menyalurkan sebarang peruntukan pada rakyat dan sebaliknya rakyat boleh mengemukakan permasalahan kepada pihak kerajaan.

Untuk merapatkan hubungan persaudaraan antara penduduk kampung, Ahli Parlimen Lubok Antu, YB William Nyalau Anak Badak sentiasa menganjurkan pelbagai majlis yang melibatkan penyertaan dari JKKK dan penduduk. Pada 2009 yang lepas misalnya, YB William merasmikan Program Kursus Ummah bersama-sama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Rumah Engkabie di Engkilili. Semasa program berkenaan berjalan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cawangan Kampung San Semanju, wakil bagi penduduk rumah panjang Engkilili menerima peruntukan bernilai RM10,000 dan RM3,000 bagi memajukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP). Melalui peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan, JKKK menjadi penggerak kepada aktiviti kemasyarakatan selain menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam menyalurkan peruntukan pembangunan. Kata Barayan, sebelum peruntukan disalurkan oleh kerajaan untuk membina jalan raya, balai raya, membaiki kediaman dan pelbagai kemudahan, JKKK diberi tanggungjawab untuk menilai peruntukan yang diperlukan.

Selain itu, pentadbiran di Engkilili di terajui oleh seorang Temenggung yang mentadbir dan menjalankan tugas dari wakil masyarakat dari pelbagai kaum terutamanya Iban, Cina dan Melayu. Temenggung mewakili kawasan Sri Aman akan melaporkan sebarang permasalahan dan turut memberi penerangan tentang pembangunan yang akan dilakukan oleh Pejabat Daerah Kecil Engkilili. Temenggung turut dibantu oleh Pemanca yang bernama Tay Ban Cho yang mewakili seluruh kaum Cina dari Lubuk Antu. Pemanca juga digelari sebagai Ketua Penghulu yang menjadi perantaraan antara pejabat daerah dengan penduduk kampung. Sebenarnya Pemanca dibantu oleh sembilan orang penghulu yang memperuntukkan tujuh jawatan pada kaum Iban, satu Cina dan Melayu. Tugas Penghulu pula adalah untuk menjaga, mengawal dan menyalurkan maklumat kampung kepada pihak berkuasa pentadbiran serta memelihara budaya dan adat resam masing-masing.

 

Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 17 Januari 2012 03:19
 

Perpustakaan Awam Majlis Daerah Lubok Antu Engkilili 95800 Lubok Antu Sarawak

Hit Paparan Kandungan : 81352
Kemas Kini :
09-05-2013 02:55