Laman Utama
Latar Belakang
Sosio dan Budaya
Ekonomi dan Pekerjaan
Sejarah dan Pelancongan
Pendidikan dan ICT
Jabatan dan Agensi Kerajaan
Sosio dan Budaya

Adet Penan

Kaum Penan yang berjumlah lebih kurang 600 orang di Long Jekitan mempunyai adatnya sendiri yang dikenali sebagai Adet Penan. Adet Penan telah dikodifikasikan beberapa tahun yang lalu tetapi belum lagi diwartakan secara rasminya. Namun demikian, mereka menggunakan adat yang biasa diamalkan dalam sesebuah kampung atau rumah panjang dan adat itu diterima oleh semua penduduk yang majoritinya beragama Kristian Sidang Injil Borneo (SIB).

Dari segi pertuturan,  orang Penan menuturkan bahasanya sendiri tetapi kadang-kadang berselang  seli atau bercampur dengan bahasa orang  Kayan.  Bahasa Melayu atau bahasa Melayu Sarawak akar sukar dituturkan kerana kebanyakan mereka bergaul sesama kaum sahaja. Kalau ada pun yang mengetahui bahasa lain ialah mereka yang telah berkahwin campur atau yang bekerja di kem-kem pembalakan. Jika orang Penan mengucapkan, “tei hinok kelok sebile ke?” ia bermaksud, “ke “mana kamu orang kawanku” atau  “melakau tong tan aju, su ya?” bermaksud, “berjalan di hutan jauhkah?”

Rumah persinggahan sementara

Perkahwinan campur sudah merupakan satu kelaziman di kalangan kaum Penan biasanya melibatkan kaum wanita. Wanita Penan berkahwin dengan kaum-kaum lain seperti Bugis, Cina, Iban, Kayan, Kenyah dan sebagainya. Hasil perkahwinan campur itu menyebabkan ramai di kalangan mereka pandai berbahasa lain khususnya seperti Melayu, Kayan, Kenyah dan Iban.  Terdapat juga mereka yang berkahwin dengan bangsa-Bangsa lain yang bekerja di kem-kem pembalakan.

Ikatan Kekeluargaan

Seperti perkampungan mana-mana kaum Orang Ulu yang lain, penduduk Long Jekitan juga mendiami rumah panjang. Namun terdapat juga rumah yang didirikan berasingan daripada rumah panjang tersebut. Keadaan ini menunjukkan bahawa penghuninya bukanlah warga tempatan tetapi penduduk yang berasal sama ada dari Long Tikan, Long Bee atau Ba Purau yang mempunyai anak-anak atau cucu yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Jekitan. Walaupun sekolah tersebut menyediakan asrama untuk pelajar-pelajarnya, namun mereka masih tidak mahu berjauhan. Dalam kata lain, ikatan kekeluargaan yang amat kukuh menyebabkan wujudnya keadaan sedemikian yang pada satu segi merupakan sikap yang amat terpuji diamalkan.

Rumah persinggahan sementara

Dalam sesetengah keadaan, Long Jekitan menjadi pusat kepada penduduk kampung lain sekiranya mereka mahu pergi ke Long Mekabar untuk membeli barangan keperluan harian dan juga jika ingin meneruskan perjalanan ke Bandaraya Miri atau ke  tempat lain  seperti Long Jeeh untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik desa di situ. Oleh itu, keputusan mendirikan rumah di Long Jekitan merupakan satu langkah bijak kerana ia boleh dijadikan tempat persinggahan.

 

Muafakat Membawa Berkat

Terdapat empat buah perkampungan kaum Penan sepanjang Sungai Silat, Baram. Selain Long Jekitan yang paling hampir dengan Long Mekaba ialah sebuah rumah panjang kaum Kenyah Lepo Tau. Perkampungan lain ialah Long Tikan yang terletak tidak jauh di sebelah hulu Long Jekitan, diikuti Long Bee. Perkampungan yang paling jauh ialah Ba Purau. Untuk sampai ke situ, pengunjung perlu berjalan kaki merentasi hutan yang dipenuhi dengan pacat dan menyeberangi sebuah anak sungai yang dinamakan Sungai Data, Silat. Perjalanan ke situ mengambil masa lebih kurang enam hingga tujuh jam untuk orang biasa. Perlu diingatkan bahawa tempoh perjalanan tersebut bukanlah untuk kaum Penan dan warga tempatan. Masa yang mereka ambil mungkin kurang daripada itu.

Hubungan penduduk yang mendiami keempat-empat perkampungan Penan ini amat baik kerana wujud rasa saling hormat menghormati antara satu sama lain. Mereka saling bekerjasama dalam melaksanakan apa juga program yang dianjurkan terutama pihak sekolah kerana anak dan cucu masing-masing bersekolah di situ. Mereka juga peka dengan aktiviti ataupun program yang dirancang oleh kerajaan seperti pelaksanaan pemberian Projek Kecil Luar Bandar (Minor Rural Project).

Seperti kebanyakan penduduk di kampung-kampung lain di serata Daerah Marudi, kaum Penan di sini juga tidak ketinggalan untuk menerima peruntukan yang disediakan oleh kerajaan yang disalurkan melalui Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Parlimen di daerah tersebut. Walaupun kaum Penan telah mulai mengubah cara hidup mereka, namun masih banyak lagi perkara yang perlu dipertingkatkan terutama dari aspek sosioekonomi dan pendidikan.   

Alat Bunyi Sape

Menurut tradisi lisan masyarakat Kenyah, merekalah kaum pertama yang menggunakan alat sape atau sampe – sejenis alat muzik bertali buatan tangan  daripada sebatang kayu yang ditebuk menyerupai gitar.  Seperti gitar, sape   mempunyai badan yang memanjang dengan bahagian belakang badan dibiarkan terbuka serta “berleher” yang pendek. Ia dihias indah  dengan pelbagai corak ukiran yang berwarna-warni. Umumnya, setiap alat muzik sape mempunyai ukuran lebih kurang 130  sentimeter panjang dan 20 sentimeter lebar.

Namun, secara umunya, sape ialah alat bunyi atau alat muzik yang dipusakai oleh  orang Ulu Sarawak. Alat muzik ini dimainkan dengan cara memetik talinya tetapi rupa bentuknya berbeza-beza. Disebabkan, budaya hidup kaum Penan banyak dipengaruhi oleh kehidupan orang Ulu seperti kaum Kenyah, maka mereka juga  menggunakan sape  sebagai satu cara berhibur. Biasanya sape  dimainkan dalam tema yang berbeza  bagi mengiringi tarian Ngajat atau Datun Julud.  

Sarung parang ilang yang digunakan oleh orang Kenyah dan Penan

Dahulu, sape hanya mempunyai dua utas tali  yang diperbuat daripada urat pelepah pokok iman dan pokok talang -  iaitu sejenis pokok nipah hutan. Tali itu  dipasang pada “kepala” sape  yang mempunyai pemulas sape (disebut otah atau utah). Pemulas itu    terletak pada hujung “leher” atau “kepala” sesebuah sape. Bilangan pemulas sesebuah sape bergantung kepada bilangan tali yang hendak dipasang yang kebiasaannya terdapat tiga hingga empat batang pemulas yang membolehkan empat utas tali dipasang.

Menurut cerita orang Kenyah, muzik sape dikaitkan dengan kisah  Anyi Selong suatu ketika dahulu. Beliau berketurunan Kenyah Lebu Kulit di Long Jelarai, Apo Kayan di Kalimantan  dan dikatakan  pengasas atau pencipta alat muzik sape.  Sape menjadi alat muzik kebanggaan orang Ulu di Sarawak dan kini sedang diangkat untuk dipopularkan ke peringkat kebangsaan. Seorang pelajar di Kuala Lumpur, Elainee Lee misalnya telah mendalami teknik bermain sape kerana berminat untuk mempopularkan alat itu. Beliau boleh memainkan  kira-kira 20 buah lagu  menggunakan alat tersebut selepas berguru secara intensif.