Laman Utama
Latar Belakang
Sosio dan Budaya
Ekonomi dan Pekerjaan
Sejarah dan Pelancongan
Pendidikan dan ICT
Jabatan dan Agensi Kerajaan
sejarah dan PELANCONGAN

Laluan Utama Penghijrahan 

Berdasarkan cerita lisan, pada masa dahulu Sungai Silat merupakan laluan utama bagi pendatang seperti kaum Kenyah yang berasal dari Usun Apau, di Hulu Sungai Julan. Mereka menggunakan  sungai tersebut  untuk berhijrah ke beberapa kawasan sekitar Hulu Baram seperti Long San, Long Ulai, Long Tikan dan lain-lain. Tambah pula, air Sungai Silat mengalir keluar ke Sungai Baram. Penduduk ketika itu perlu berhijrah kerana mencari penempatan baru untuk bercucuk tanam dan sebagainya. Selain itu, wujud juga pertelagahan sesama mereka yang menyebabkan berlakunya penghijrahan.

Sungai Silat pernah menjadi laluan utama penghijrahan Kaum Kenyah ke kawasan-kawasan baru sekitar Hulu Baram

Jacob berkata penduduk Baram yang sebelum ini hanya bergantung pada sektor pembalakan dan pertanian bagi mencari rezeki, kini telah mempelbagaikan kegiatan ekonomi mereka, termasuk dengan melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan sektor pelancongan.

Katanya selain Gua Mulu yang terkenal di seluruh dunia, Baram juga kaya dengan pelbagai khazanah pelancongan lain yang boleh dimanfaatkan oleh penduduknya untuk menambah pendapatan.

"Kekuatan industri pelancongan Baram terletak pada eko-pelancongannya dan setakat ini, agak ramai penduduk telah mengusahakan projek masing-masing, seperti Tenyok Resort di Long Bedian serta beberapa projek inap desa," katanya.

Aktiviti Sukan Air

Keadaan sungai seperti ini memang sesuai untuk aktiviti sukan air seperti berakit

Kawasan sekitar Sungai Silat sendiri yang kaya dengan keindahan flora dan faunanya mampu untuk menarik kedatangan pelancong sekiranya ia dipromosikan dengan baik. Aliran sungainya yang deras ketika cetek mewujudkan suasana yang indah kepada mereka yang gemarkan aktiviti air. Pada masa inilah, kelihatan jeram-jeram yang kecil mencabar pengunjung untuk melakukan aktiviti lasak seperti berkayak dan berakit di situ. Pada tahun 2007, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Negeri Sarawak telah menganjurkan  aktiviti White Water Rafting di sungai tersebut dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Program Inap Desa  

Program Inap Desa atau homestay memang sudah menjadi salah satu daya tarikan pelancong dan berpotensi besar untuk dimajukan di mana-mana kawasan di negeri ini. Menyedari potensi tersebut, beberapa orang penduduk di Long Mekabar mula merancang langkah-langkah awal untuk melaksanakan program berkenaan di situ. Justeru, bagi orang luar yang ingin mendapatkan pengalaman tinggal di kawasan perkampungan kaum Kenyah di Long Mekaba, mereka boleh berbuat demikian jika program tersebut dilaksanakan nanti.

Rumah Budaya di Long Mekabar mampu menarik minat pelancong jika dipromosikan dengan baik

Selain itu, terdapat sebuah rumah budaya di situ yang menempatkan segala khazanah dan budaya kaum Kenyah di Long Mekaba, termasuk hasil-hasil kerja tangan mereka yang dapat dibeli dengan harga yang berpatutan.