Laman Utama
Latar Belakang
Sosio dan Budaya
Ekonomi dan Pekerjaan
Sejarah dan Pelancongan
Pendidikan dan ICT
Jabatan dan Agensi Kerajaan
lATAR bELAKANG

Seperti Di Sungai Mekong

Perahu panjang yang membawa penumpang ke Long Jekitan

Perjalanan menuju ke Long Jekitan, sebuah perkampungan kaum Penan yang terletak di tebing Sungai Silat, Baram, Sarawak seolah-olah mengunjungi Sungai Mekong, Thailand kerana suasananya sama seperti di sana. Dalam kata lain, bot berenjin sangkut atau standing outboard engine  yang digunakan sama seperti yang digunakan warga Thailand yang saban hari melalui sungai tersebut. Ia sejauh kira-kira 20 hingga 30 minit dari Long Mekabar yang merupakan sebuah perkampungan kaum Kenyah.   Namun yang membezakannya ialah tiada pasar terapung seperti yang terdapat di sana sebaliknya yang menggantikan suasana riuh rendah para peniaga di pasar terapung itu ialah pokok-pokok kayu, bunyi unggas-unggas hutan dan desiran air sungai seolah-olah menyambut kedatangan pengunjung.

Perjalanan dari Bandaraya Miri pula mengambil masa lebih kurang  tujuh hingga lapan jam menggunakan kereta pacuan empat roda hingga ke Long Mekabar. Ia melalui jalan raya Miri - Bintulu kemudian membelok ke kiri melalui Jalan Beluru - Lapok yang keadaannya amat baik namun perjalanan mula menghadapi cabaran dari Simpang Jalan Beluru ke Long Lapok kerana keadaan jalannya yang tidak begitu sempurna, selain ditemani kenderaan-kenderaan berat yang membawa muatan kayu balak dan kelapa sawit. Jalan tersebut juga sentiasa dilalui penduduk tempatan dengan menggunakan kereta pacuan empat roda dari kawasan Sungai Peking - Tinjar, Long Lama – Tutoh - Apoh dan kawasan-kawasan Ulu Baram ke Miri dengan berulang-alik. Setibanya di Jambatan Lapok yang merentangi Sungai Tinjar, bermulalah perjalanan yang agak mencabar tetapi menyeronokkan kepada sesetengah orang. Dari Lapo, perjalanan mengambil masa lebih-kurang empat  hingga lima jam ke Long Mekabar, mengikut kelajuan  kenderaan yang dipandu dan keadaan jalan ketika itu.  Jika cuaca baik, kenderaan dapat dipandu laju tetapi sebaliknya pada hari-hari hujan.

Kereta pacuan empat roda memang sesuai ke Long Mekabar Lori-lori balak yang menemani pengunjung sepanjang perjalanan menuju ke Long Mekabar

Long Jekitan yang terletak di Daerah Marudi juga dapat dikunjungi melalui perahu panjang dengan menggunakan enjin sangkut dari Pekan Marudi. Namun, ia melibatkan kos yang agak tinggi dan mengambil masa dua atau tiga hari untuk sampai ke sana. Oleh itu, penduduk tempatan memilih untuk melalui jalan darat walaupun terpaksa menggunakan jalan kem pembalakan yang jelas lebih mencabar kerana  pada musim hujan jalan tersebut menjadi licin, dipenuhi lumpur dan pada musim kemarau ia akan berdebu.

Sebelum 1980-an perhubungan pengangkutan di Baram amat terhad dan kawasan paling jauh yang boleh dikunjungi melalui jalan darat ialah Bazaar Lapok, yang terletak di pinggir Sungai Tinjar, kira-kira 100 kilometer dari Bandaraya Miri. Bagaimanapun, dalam tempoh 20 tahun lepas, rangkaian jalan raya yang wujud  telah berkembang berikutan pembinaan sebuah jambatan menyeberangi Sungai Tinjar dikenali sebagai Jambatan Lapok. Di samping itu, pembangunan prasarana di kawasan itu juga semakin rancak apabila wujudnya kegiatan pembalakan dan pembukaan ladang secara besar-besaran.

 Walaupun kebanyakan jalan di Baram belum diturap, tetapi ia memudahkan penduduk untuk bergerak melalui jalan darat ke semua kawasan penempatan di kawasan itu. Kini, hampir semua kampung yang berselerak di Baram boleh dikunjungi melalui jalan darat, jauh berbeza dengan d keadaan yang wujud suatu ketika dulu.

Pangkalan perahu di Long Jekitan

Daerah Marudi terbahagi kepada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Marudi dan Telang Usan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Marudi ialah Yang Berhormat Encik Sylvester Entri anak Muran  yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam Negeri Sarawak. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Telang Usan ialah Yang Berhormat Encik Lihan Jok. Sementara, Yang Berhormat Dato’ Jacob Dungau Sagan   merupakan Ahli Parlimen kawasan  Baram  yang juga  Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia. Sebagai rekod, kawasan Parlimen Baram ialah yang terbesar di Malaysia, menyamai keluasan negeri Pahang (kira-kira 35,964 kilometer  persegi)

Sesuatu yang mungkin menarik ialah sistem perniagaan zaman dahulu atau barter trade  yang kadang-kala masih  lagi diamalkan oleh penduduk di sini.  Kaedah ini terpakai bila mana para peniaga daripada penduduk berhampiran seperti Kenya, Kayan, Saban dan Kelabit berkunjung ke Long Jekitan untuk menjual barang-barang keperluan harian seperti pakaian dan makanan. Jika mereka tidak mempunyai wang, mereka akan menukarnya dengan benda-benda lain seperti belukoi (hasil kraf tangan tradisional), hasil pertanian atau sebagainya berdasarkan nilai jual beli yang dipersetujui bersama.

Penempatan Semula Kaum Penan

Keadaan persekitaran Long Jekitan sememangnya amat menarik kerana ia berbukit-bukau, selain terdapat anak-anak sungai yang mengalir ke Sungai Silat. Namun, apabila hujan air sungai akan meningkat dan arusnya menjadi deras dan membahayakan serta   mereka yang menggunakan perahu. Sebaliknya, apabila air sungai surut, perjalanan perahu menjadi sukar kerana tidak boleh melalui sungai yang cetek dan jeram yang berbatu-batu. Oleh itu, perahu akan ditarik, selain menyukarkan, ia turut melambatkan perjalanan.

Namun itulah Long Jekitan, satu-satunya kampung kaum Penan  sejak empat dekad yang lalu dan telah dijadikan projek perintis untuk  perancangan penempatan semula kaum Penan di negeri Sarawak. Difahamkan projek berkenaan bernilai RM100 bilion  diperuntukkan mulai 2008 - 2010 dan ia di-Pengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

Asal Usul

Suatu ketika dahulu, kaum  Penan Long Jekitan atau Long Sekitan (sebutan oleh Kaum Penan) berasal dari Long Tikan  yang kini masih tinggal hanya beberapa keluarga sahaja di situ.  Kira-kira  empat dekad atau 40 tahun yang lalu, sebilangan  mereka berpindah ke Long Jekitan.  Kaum Penan Ba Purau memang berasal dari kawasan Sungai Silat itu sendiri seperti juga dengan Penan Long Jekitan dan Long Tikan. Menurut seorang ahli antropologi British, Rodney Needham  orang Penan di kawasan Batang Baram dikenali sebagai Northern Penan dan di Belaga sebagai Southern Penan.

Menurut Henry Belawing, budaya hidup kaum Penan di kawasan Baram dikatakan dipengaruhi oleh orang Kenyah sementara kaum Penan di kawasan Belaga pula dipengaruhi oleh orang Kayan. Oleh itu percakapan mereka pun  berbeza, jelas Henry yang  neneknya  dari sebelah ibu bernama  Beliron Aya berketurunan Penan.
 
Manakala, Penan di Long Bee pula berasal dari  Penan Lua di daerah Belaga yang mengikut  Ketua Kaumnya, Balan Balang.   Di Belaga juga  terdapat suku kaum Penan Talun  yang sekarang  tinggal  di Sungai Asap, Bakun dalam program penempatan semula. Bagaimanapun, masih terdapat  di kalangan mereka yang masih belum dipindahkan  ke penempatan  Sungai  Asap seperti Penan Lusung Laku, Penan Long Jek, Penan Long Urun, Penan Long Malim, Penan Long Wat dan  dari beberapa buah kampung yang lain.
 
Di daerah Marudi  pula (dahulu dikenali Daerah Baram), terdapat perkampungan kaum Penan di Sungai Tutoh/Sungai Apoh seperti Long Leng, Long Kevok, Long Layun, Long Late', Long Buang, Long Kawa dan lain-lain. Di kawasan Ulu Baram atau Batang Baram di Sungai Patah/ SungaiAkah terdapat perkampungan Penan  Ba Item, Long Sait, Ba Abang, Ba Banalih, Long Beku/Long Liwe' dan lain-lain.  

 Kampung Penan di Sungai Tinjar ialah Long Lobang, Long Nibong, Long Maligem, Long Lapok dan lain-lain.  Manakala di kawasan Ulu Baram ialah Long Lamai, Long Bruang dan lain-lain. Di kawasan Miri dan Bintulu pula orang Penang menetap di  Jalan Miri-Bintulu, Suai/Niah, Jelalong dan lain-lain. Terdapat kira-kira 120 perkampungan Kaum Penan di negeri Sarawak dengan jumlahnya kira-kira 16,000 orang.
 

KKeindahan flora dan fauna yang belum tercemar di kawasan Long Jekitan Jeram-jeram berbatu yang menjadi halangan sepanjang perjalanan ke Long Jekitan

Kekurangan  Prasarana

Secara umumnya, perkampungan Penan di Long Jekitan belum lagi mempunyai pelbagai kemudahan asas seperti elektrik dan bekalan air bersih. Ketiadaan kemudahan asas sedemikian telah melambatkan usaha untuk membangunkan kehidupan penduduknya dan melambatkan proses pembangunan dan kemajuan setempat. Namun, ia akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi  menerusi usaha yang dilakukan kerajaan melalui Projek Penempatan Semula Kaum Penan.  

Walaupun sesetengah rumah mendapat bekalan elektrik, ia sebenarnya berpunca daripada beberapa sumber atau jana kuasa persendirian. Antaranya ialah jana kuasa diesel daripada kem-kem pembalakan dan dibekalkan kepada  rumah pekerja-pekerja pembalakan. Selain itu,  jana kuasa diesel Sekolah kebangsaan Long Jekitan membekalkan elektrik kepada keperluan murid di asrama, guru dan kakitangan sekolah tersebut. Melalui jana kuasa tersebut, elektrik dibekalkan dari jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari; 5.00 petang hingga 7.00 malam dan dari 9.00 malam hingga 11.00 malam dan pembekalan sangat bergantung kepada bekalan minyak diesel yang ada. Bekalan diesel pula perlu diperoleh dari Miri dan kesukaran membawanya menyebabkan kos meningkat.

Perkhidmatan Doktor Udara turut diadakan sekali sebulan bagi memberi perkhidmatan kesihatan percuma kepada penduduk Long Jekitan.   Kakitangan Jabatan Kesihatan sama ada dari Daerah Marudi ataupun Klinik Desa Long Jeeh turut mengadakan lawatan untuk mengawal wabak penyakit khususnya seperti malaria dari merebak di kalangan penduduk Penan yang menduduki kawasan Ba Purau, Long Bee, Long Tikan dan Long Jekitan sendiri.

Helikopter digunakan untuk perkhidmatan doktor udara melawat kawasan terpencil