Laman Utama
Latar Belakang
Sosio dan Budaya
Ekonomi dan Pekerjaan
Sejarah dan Pelancongan
Pendidikan dan ICT
Jabatan dan Agensi Kerajaan
Ekonomi dan Pekerjaan

Tiada Pendapatan Tetap

Secara umumnya, amat sukar untuk menjelaskan sumber pendapatan bagi kaum Penan di Long Jekitan dan kawasan-kawasan sekitarnya kerana tiada pekerjaan tertentu yang dapat menghasilkan pendapatan tetap untuk mereka. Dalam kata lain, hendak pergi berburu di hutan, haiwan seperti khinzir, rusa dan sebagainya sudah berkurangan. Hendak pergi menangkap ikan di sungai, ikan pula berkurangan dan ada kalanya untuk makanan sendiri, pun sukar untuk diperoleh. Mungkin yang membantu hidup mereka ialah kegiatan menanam sayur-sayuran atau buah-buahan sekadar sara diri..

Hasil Kemahiran

Bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai kemahiran mungkin mampu mendapat hasil pendapatan, walaupun tidak seberapa. Kelem Ngang, salah seorang penduduk Long Jekitan yang mempunyai kemahiran dalam bidang pertukangan besi telah menjadikan kemahiran itu sebagai sumber pendapatan tetapnya. Beliau yang memang terkenal sebagai pembuat parang di kawasan tersebut menghasilkan parang ilang dan juga parang biasa dengan menggunakan kepingan besi.

Menurut Kelem, ada kalanya beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan besi untuk meluaskan usahanya itu. Dahulu, kepingan besi dapat diperoleh dengan mudah kerana harganya cuma RM1.50 semeter tetapi sekarang harganya melambung naik hingga RM5.00 semeter. Dahulu juga , kepingan besi dapat diperoleh dengan mudah daripada serpihan peralatan jentolak- yang rosak di kem-kem pembalakan, tetapi kini, pihak pengurusan kem tersebut tidak membenarkan mereka mengambil besi itu. Melalui usahanya itu, beliau boleh memperoleh pendapatan lumayan iaitu lebih kurang RM300.00 hingga RM400.00 sesekali tempahan.   

Aban Engan sedang menyediakan sarung untuk parang ilang Benyi Usat sedang menganyam balukoi ajat, sejenis bakul tradisi kaum Penan

Bagi golongan wanita seperti Benyi Usat dan  Paya Gau, mereka mahir menganyam berbagai bentuk kraf tangan seperti bakul rotan tradisi balukoi ajat dan bak untuk membawa kanak-kanak kecil. Sebuah balukoi ajat yang siap dianyam dijual dengan harga antara RM10.00 hingga RM15.00 setiap satu. Manakala sebuah bak pula dijual dengan harga yang berbeza-beza mengikut corak anyaman dan perhiasan sama ada ia disulami dengan manik atau tidak. Bak yang biasa diperbuat daripada rotan di ual dengan harga RM25.00 hingga RM50.00 setiap satu. Manakala yang disulami dengan manik, harganya boleh mencapai RM200.00 hingga RM300.00 setiap satu.x

Pertanian Sara Diri

Tanaman padi bukit yang diusahakan untuk kegunaan diri sendiri

Secara umumnya, penduduk Penan di Long Jekitan hanya menanam padi bukit untuk kegunaan diri sendiri sahaja, tanpa ada usaha untuk menjadikan bidang itu sebagai sumber pendapatan mereka. Ada juga di kalangan mereka yang menanam sayur-sayuran, namun setelah dituai, tanaman tersebut terbengkalai kerana tiada usaha untuk menanam semula sayur-sayuran tersebut. Dalam kata lain, usaha yang mereka lakukan itu seperti bermusim walaupun  Jabatan Pertanian Daerah Marudi  memberi pelbagai bantuan seperti   biji benih dan khidmat nasihat.

Rezeki Di Mana-mana

Golongan muda di Long Jekitan mula berhijrah ke tempat-tempat lain bagi mencari rezeki. Ada yang bekerja di ladang kelapa sawit di Daerah Suai, Bahagian Miri dan ada juga yang bekerja sebagai buruh binaan di rumah-rumah panjang di Long Selatong, Long Anak, Long San dan kawasan-kawasan lain sekitar Hulu Baram. Pada masa yang sama, ada juga di kalangan mereka yang bekerja sebagai buruh di Bandaraya Miri dan Bintulu, selain bekerja di kem-kem pembalakan yang berhampiran.