Laman Utama
Latar Belakang
Sosio dan Budaya
Ekonomi dan Pekerjaan
Sejarah dan Pelancongan
Pendidikan dan ICT
Lain-Lain
Jabatan dan Agensi Kerajaan
Sosio dan Budaya

Kehidupan Yang Berjaya

Ladang sawit yang disulami tanaman lain sebagai langkah menambah pendapatan peneroka

Ketua Kampung, Abu Bakar Mahmood berkata, berbanding pada peringkat awal penerokaan, kehidupan penduduk di situ telah begitu banyak berubah baik dari aspek ekonomi, sosial mahupun pembangunan. Beliau yang berasal dari Muar, Johor menjadi peneroka semata-mata mahu merubah cara hidup dan mengakui peringkat awal meneroka memang merupakan satu ujian atau pekerjaan yang amat getir. Beliau dengan bantuan dan semangat seorang isteri terpaksa menggunakan segala kudrat dan tulang empat kerat untuk memastikan kehidupan barunya di tanah rancangan  dapat dilaksanakan dengan jaya. Beliau dan peneroka yang lain perlu menunggu selama enam tahun sebelum getah di tanah masing-masing dapat ditoreh dan mengecap hasil.

Menurut Abu Bakar,  kini dapat dilihat ramai peneroka yang sudah mengubahsuai rumah atau membina rumah baru kerana memiliki pendapatan hasil keringat dan kesabaran mereka. Jangan terkejut jika melihat begitu banyak rumah banglo bernilai  antara RM100,000  dan ke atas tersergam indah di samping masing-masing mampu memiliki sekurang-kurang sebuah kereta dan peralatan rumah yang serba lengkap.  

Rumah baru seorang peneroka yang sedang dibina Inilah rumah asal peneroka yang disediakan oleh Felda pada 1962

Peneroka Bukan Bumiputera

Peneroka bukaan Bumiputera, Chan Kin Wee,  39 tahun akan mewarisi  tanah seluas  kira-kira 4.047 hektar  yang ketika ini diletakkan di bawah nama ibunya. Tanah milik ibunya merangkumi 3.2376 tanah ladang, 0.8094 tanah dusun dan kira-kira 0.8094 tapak kediaman. Bagaimanapun  keseluruhan tanah dusun tersebut telah diambil oleh kerajaan di bawah projek Empangan Klau.  Kin Wee yang juga merupakan seorang kontraktor binaan mempunyai pandangan yang positif terhadap cadangan pembinaan empangan tersebut dan telah pun  menerima bayaran pampasan sepenuhnya.

Kin Wee yang mempunyai lapan orang adik beradik dilahirkan di Kampung Felda Lembah Klau sementara adik beradiknya yang lain dilahirkan di Cheras, Kuala Lumpur. Disebabkan kehidupannya bercampur dengan masyarakat peneroka Melayu, Kin Wee begitu fasih berbahasa Melayu dan  berhubung rapat dengan jiran-jiran atau peneroka-peneroka yang lain. Malah salah seorang abangnya telah memeluk agama Islam dan dikenali dengan nama Rahim Abdullah.

 Penghijrahan

Kejayaan peneroka Kampung Felda Lembah Klau bukan hanya dapat diukur dari segi kebendaan atau harta yang mereka miliki tetapi juga kejayaan membesarkan anak-anak.  Ternyata ramai juga anak-anak peneroka  berjaya dalam akademik, melanjutkan pelajaran ke menara gading hatta menjawat jawatan-jawatan penting di sektor awam dan juga di swasta.  Oleh itu, sukar untuk melihat generasi muda di kampung ini kerana kebanyakan mereka telah berhijrah sama ada sedang melanjutkan pelajaran atau sedang bekerja di bandar-bandar besar. Kampung ini akan meriah pada musim-musim perayaan apabila anak-anak yang berhijrah pulang ke rumah ibu bapa mereka seperti pada musim hari raya dan sebagainya. Suasana ini agak berbeza dengan keadaan 20 atau 30 tahun lalu di mana, peneroka sendiri yang pulang ke kampung halaman masing-masing.