Laman Utama
Latar Belakang
Sosio dan Budaya
Ekonomi dan Pekerjaan
Sejarah dan Pelancongan
Pendidikan dan ICT
Lain-Lain
Jabatan dan Agensi Kerajaan
Latar Belakang

Peneroka Generasi Ketiga

Selepas sejarah suka duka dan air mata peneroka Lurah Bilut, Raub, Pahang pada tahun 1958, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memajukan kawasan seluas 2,454.17 hektar (606,417.1 ekar) di Mukim Gali 2, kira-kira 34 kilometer dari Pekan Raub, Pahang Darul Makmur lengkap dengan kemudahan kediaman dan prasarana lain. Kawasan itu kemudiannya dikenali sebagai Felda Lembah Klau dengan menjadikan getah sebagai tanaman utama dengan kemasukan peneroka peringkat pertama pada 1962. Ia diikuti dengan kemasukan peneroka peringkat kedua dan seterusnya sehingga peringkat tujuh pada 1963, 1965, 1970, 1970, 1976 dan 1977.

Landskap di jalan masuk ke Kampung Felda Lembah Klau

Pengurus Felda Lembah Klau, Awang Sulong berkata, peneroka peringkat enam merupakan peneroka generasi kedua melibatkan seramai 395 peneroka. Manakala 49 orang peneroka generasi ketiga ditempatkan di peringkat tujuh dengan keluasan tanah 4.047 hektar bagi setiap peneroka.

Kini, selepas 46 tahun berlalu kawasan itu telah mengalami penjenamaan semula dan dikenali dengan nama Kampung Felda Lembah Klau. Bilangan peneroka seramai 474 orang dan melibatkan isi rumah seramai 3,050 orang termasuk 18 orang peneroka India dan dua orang peneroka Cina. Tanaman getah yang menjadi entiti pertanian pada peringkat pertama dan kedua telah bertukar kepada kelapa sawit pada 1985 demi meningkatkan taraf hidup dan ekonomi para peneroka.

Setiap peneroka menerima selot tanah ladang seluas 3.2376 hektar (lapan ekar) dan tambahan sebanyak 0.8094 hektar (dua ekar) sebagai tapak rumah secara berasingan. Terdapat juga segelintir peneroka peringkat enam dan tujuh yang menerima seluas 4.047 hektar (10 ekar) tanah ladang.

Abu Bakar Mahmood, Ketua Kampung Felda Lembah Klau dikenali juga dengan panggilan mesra Tok Empat di kalangan peneroka

Pada hari ini, rata-rata peneroka generasi pertama di sini telah berusia 60 tahun ke atas dan tidak lama lagi, ia akan diambil-alih oleh ahli keluarga mereka sebagai generasi peneroka peringkat kedua. Namun, persoalannya berapa ramai anak-anak peneroka tersebut bersedia mengambil alih tanggungjawab sebagai pewaris peneroka disebabkan kebanyakan mereka telah berhijrah ke bandar-bandar besar termasuk di Bandar raya Kuala Lumpur. Inilah yang difikirkan oleh kebanyakan mereka seperti mana yang disuarakan oleh Ketua Kampung Felda Lembah Klau, Abu Bakar Mahmood, 57 tahun. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung telah menyandang jawatan tersebut sejak beberapa tahun lepas sering memikirkan perkara itu. Walau bagaimanapun, sebagai makluman, permohonan baru untuk menjadi peneroka Felda tidak lagi dibuka sejak 1997.

Kampung Felda Lembah Klau boleh dikunjungi dari Kuala Lumpur melalui jalan Bentong - Raub atau dari Kuantan-Temerloh. Rata-rata kawasan di sekelilingnya adalah tanah rancangan Felda dengan pekan terdekat ialah Pekan Sungai Ruan dan Sungai Klau dan kawasan Rancangan Tanah Pemuda. Pusat bandar paling hampir ialah pekan Raub sejauh kira-kira 34 kilometer atau 30 minit perjalanan berkereta. Walaupun ia merupakan sebuah tanah rancangan, pelbagai kemudahan asas tersedia termasuk hubungan jalan raya berturap yang baik. Kampung ini terletak di bawah kawasan Parlimen Raub dan Dewan Undangan Negeri Dong.