Laman Utama
Latar Belakang
Sosio dan Budaya
Ekonomi dan Pekerjaan
Sejarah dan Pelancongan
Pendidikan dan ICT
Lain-Lain
Jabatan dan Agensi Kerajaan
aspek lain

Durian Runtuh Empangan Klau

Cadangan pembinaan Empangan Klau  atau Projek Penyaluran Air Mentah Antara Negeri (ISWRT) Pahang – Selangor telah menyebabkan majoriti peneroka Kampung Felda Kelau mendapat durian runtuh. Difahamkan, seramai 416 orang daripada 474 peneroka yang diambil sebahagian tanah mereka (kira-kira 0.8094 hektar atau dua ekar) untuk   cadangan pembinaan Empangan Klau. Sebagai ganti rugi, sebahagian besar di kalangan peneroka yang terlibat telah menerima durian runtuh berupa bayaran pampasan daripada kerajaan pusat berjumlah antara RM44,000 hingga RM46,000  sehektar  mengikut harga pasaran semasa tanah pertanian.  Ini bermakna setiap peneroka yang terlibat memperoleh pampasan minima antara RM88,000 hingga RM92,000 seorang mengikut keluasan tanah  yang diambil. 

Landskap di jalan masuk ke Kampung Felda Lembah Klau

Peneroka yang berkenaan telah menggunakan wang pampasan tersebut untuk pelbagai tujuan, antaranya membiayai pengubahsuai rumah  kediaman  masing-masing dan menabung. Mereka juga merancang perbelanjaan dengan melabur di dalam saham-saham amanah atau sekurang-kurangnya melabur melalui Koperasi Felda.

Perpindahan Orang Asli

Sekumpulan 85 keluarga penduduk Orang Asli yang terlibat  di dalam cadangan pembinaan Empangan Klau ialah mereka yang mendiami tanah kerajaan di Sungai Temia yang bersempadan  Kampung Felda Lembah Klau.  Mereka ialah keturunan Orang Asli dari suku kamu Temuan dan Che Wong  yang telah menetap di situ sejak zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Perpindahan mereka nanti di satu kawasan penempatan baru menjelang September 2009  berhampiran Sungai Bilut  telah dijanjikan dengan sebuah rumah kos murah dengan kawasan seluas 0.20235 hektar (setengah ekar) dan seluas 2.4282 hektar (enam ekar)  tanah kelapa sawit yang telah siap ditanam.   

Sebagai tambahan, mereka juga akan menerima perbelanjaan sara hidup sebanyak RM400.00 sebulan selama 48 bulan sementara menunggu kelapa sawit mengeluarkan hasil. Sebagai makluman, Felda menggunakan benih baru kepala sawit yang  boleh mengeluarkan hasil selepas 48 bulan ditanam di ladang berbanding  lima atau enam tahun sebelum ini.

Gambar 030:  Bahagian hadapan Rumah  Tok Batin Cham  dan 14 rumah yang lain dibina dan dibiayai oleh kerajaan serta dilengkapi bekalan air paip dan elektrik

Cham menjadi Tok Batin sejak tahun 1968

Ketua suku kaum Orang  Asli tersebut yang dikenali sebagai Cham, 54 tahun berkata, dia dan orang-orangnya tidak mempunyai masalah untuk berpindah jika apa yang dijanjikan oleh kerajaan itu dikotakan sepenuhnya. Namun, beliau berasa sedih untuk  meninggalkan penempatan sekarang di mana sebahagian rumahnya juga dibina dan dibiayai oleh kerajaan kira-kira 10 tahun lalu. Cham yang digelar Tok Batin  mempunyai 10 orang anak menambah, anak-anaknya juga membesar dalam suasana moden dan kebanyakan mereka bersekolah dan tinggal di asrama. Katanya lagi, beliau dengan 300 orang di kalangan Orang Asli yang terlibat  sentiasa menunggu saat untuk berpindah ke lokasi baru yang tentunya berlainan dengan kehidupan yang telah mereka lalui pada masa ini.

Pendirian Cham turut disokong oleh jirannya yang dikenali sebagai Bai, 61 tahun. Bai yang mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak  masih  tertunggu masa  untuk berpindah  ke penempatan baru. Katanya, ura-ura untuk berpindah telah didengarnya sejak 1968 tetapi sehingga kini masih ternanti-nanti.

Beliau yang nampak sihat dan kuat  melakukan pelbagai pekerjaan seperti bertani, memetik buah sawit, membersihkan kebun dan lain-lain untuk menampung hidup.  Bai berharap pada peringkat awal perpindahan, kerajaan dapat membantu sara hidup mereka sebelum kelapa sawit mengeluarkan hasil.

Latar Belakang ISRWT

Projek Penyaluran Air Mentah Antara Negeri (ISWRT) Pahang-Selangor  ialah rancangan kerajaan Persekutuan untuk membekalkan  atau menyalurkan air mentah  dari negeri Pahang ke Selangor bernilai RM3.935 juta  menerusi pinjaman mudah kerajaan Jepun. Projek tersebut merupakan  persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya krisis bekalan air di negeri Selangor kepada lebih  tujuh juta penduduknya dan Lembah Klang menjelang 2010.  Ia melibatkan pengambilan dan penggunaan tanah  simpanan kerajaan dan juga tanah penduduk yang jika hendak dibandingkan bersamaan dengan dua kali keluasan negeri Pulau Pinang. Projek ini dijangka dapat membekalkan sejumlah  1.893 juta meter padu air sehari dengan nilai kira-kira RM69.094 juta. Ia melibatkan pembinaan empangan dan terowong dari beberapa kawasan di kedua-dua negeri itu seperti  Bentong, Karak dan Kuala Selangor   serta menaiktarafkan  82 loji air yang sedia ada.