Laman Utama
Latar Belakang
Sosio dan Budaya
Ekonomi dan Pekerjaan
Sejarah dan Pelancongan
Pendidikan dan ICT
Lain-Lain
Jabatan dan Agensi Kerajaan
Ekonomi dan Pekerjaan

Getah Berganti Sawit

Selepas 20 tahun daripada tarikh kemasukan  peneroka peringkat pertama, pada 1985 kelapa sawit telah menggantikan getah di ladang-ladang Felda Klau disebabkan harga getah yang berterusan merudum dan penanaman pokok getah  di ladang-ladang Felda dilihat tidak lagi  ekonomik. Pemilihan  kelapa sawit juga berdasarkan kepada keperluan, kehendak  dan pasaran ekonomi semasa di samping  harga sawit  di pasaran hadapan  yang lebih baik berbanding getah. Oleh itu, pada 1985 bermulalah  program penanaman semula menggantikan getah secara berperingkat di Lembah Klau sehingga kini.

Kira-kira 10 hingga 15 tahun lalu, harga komoditi getah agak  murah. Jika kerana tidak kuat semangat, ramai di kalangan peneroka yang datang dari pelbagai negeri  mungkin berpatah balik ke kampung halaman  masing-masing. Ketika itu harga getah hanya kira RM0.40 sekilogram. Banyak manalah yang dapat dikumpulkan bagi sehektar ladang getah?  Namun, kegigihan mengatasi segala-galanya sehingga segala derita  20 tahun itu  berlalu semacam tidak disedari.  Kini, peneroka boleh menarik nafas lega. Harga sawit pernah berlegar mengikut pasaran semasa antara RM230.00 sehingga RM810.00 setan berbanding harga getah  semasa kira-kira RM1.00 sekilogram. Ini bermakna, seseorang peneroka di Kampung Felda Lembah Klau, boleh memperoleh pendapatan sekurang-kurang RM1,500 sebulan.   Di samping itu, peneroka juga memperoleh pendapatan sampingan melalui usaha berkebun atau menanam pokok buah-buahan atau menternak. Untuk jangka panjang, peneroka juga melabur di dalam saham-saham amanah dan menyertai saham Koperasi Felda.

Gambar 118: Keupayaan membina rumah menggantikan rumah Felda sebelumnya membuktikan peningkatan ekonomi di kalangan peneroka. Di kanan ialah rumah asal yang dibina Felda.

Pendahuluan Sara Hidup
Mengimbau sejarah awal penerokaan tanah-tanah rancangan Felda,  Abu  Bakar Maahmood memberitahu, selama enam tahun Felda memberi pendahuluan sara hidup sebanyak RM69.60 sebulan atau  RM2.67 sehari sehingga  hasil getah diperoleh.  Peneroka  juga hanya dibenarkan untuk mengambil barang-barang keperluan makanan daripada kedai Felda sebanyak RM12.50 sebulan. Beliau berkata, bagi menampung perbelanjaan, peneroka membuat kerja-kerja lain seperti menjadi buruh, menanam sayur-sayuran dan lain-lain dan menambah, keadaan peneroka pada masa ini telah jauh berbeza.

Hasil sampingan seperti pisang dan lain-lain menambah pendapatan peneroka

 Dalam pekerjaan seharian, peneroka kelapa sawit di Lembah Klau tidak perlu  terlalu berhempas tulang empat kerat  kerana sebahagian besar kerja agronomi  di ladang seperti merumput, meracun dan lain-lain    dilakukan oleh  kontraktor Felda. Peneroka juga boleh mengupah pekerja untuk mengait buah dan menghantarnya ke kilang sawit Felda yang dilantik.  Dianggarkan hampir 95 peratus peneroka memilih cara tersebut disebabkan faktor-faktor tenaga dan keupayaan mereka yang dimamah usia. Orang-orang Asli juga diupah untuk mengait dan memungut kelapa sawit dengan bayaran RM30.00 setiap satu tan.

 

Hasil sampingan seperti pisang dan lain-lain menambah pendapatan peneroka

Rancangan Tanah Pemuda
Di peringkat awal penubuhan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang  pada 1969, agendanya ialah untuk memperluaskan kawasan ladang serta mengekalkan sekurang-kurangnya 25,000 hektar dan jika perlu, harus melabur di negeri-negeri lain dan juga luar negara. Menerusi agendanya juga, lembaga berkenaan membangunkan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) pada 1971 yang diambil alih dari Jabatan Pertanian Negeri Pahang. Seramai   386 orang peserta yang merupakan belia dari beberapa daerah di luar bandar negeri Pahang terlibat dalam beberapa RTP di seluruh Pahang.
Di kawasan Tanah Rancangan Lembah Klau, ia disertai seramai 52 orang anak muda.     Menerusi RTP, setiap peserta dikurniakan sebuah lot ladang kelapa sawit seluas 3.23 hektar (lapan ekar) dilengkapi sebuah rumah kediaman di atas  lot tanah seluas 0.20 hektar (0.5 ekar) dan juga sebuah lot dusun seluas 0.8094 hektar (dua ekar). Bagi kawasan Lembah Klau, keseluruhan RTP melibatkan kawasan ladang berjumlah 220.10 hektar (543.85965 ekar), dusun seluas 66.30 hektar (163.82506 ekar) dan  kediaman 28.30 hektar (69.928342 ekar) dengan perbelanjaan ketika itu berjumlah RM4 juta.

Selepas kira-kira 37 tahun, RTP telah dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi peserta yang terlibat walaupun kini mereka bukan lagi merupakan anak-anak muda. Melalui program kerajaan yang prihatin, semangat dan kerja keras peneroka, mereka telah berjaya membentuk sebuah keluar peneroka yang berjaya malah boleh dicontohi dan dibanggakan.   Kawasan  tanah rancangan yang lain yang turut  melaksanakan RTP ialah Bukit Goh di Kuantan;  Pulau Manis, Pekan; Sepayang, Rompin; Kampung Awah, Bera; Lebu, Bentong; Bukit Dinding, Jerantut dan Sungai Ular, Kuala Lipis.

Hasil Bumi

Antara hasil bumi atau hasil mineral yang dilombong di negara ini ialah emas,  bijih timah,  bijih besi, kaolin, pasir silika, struverit dan monzit menerusi beberapa kilang ambang. Daerah  Raub  suatu ketika dahulu sangat terkenal sebagai kawasan perlombongan emas terutamanya di Bukit Koman.  Malah Pahang merupakan pengeluar emas terbesar di Malaysia dengan mengeluarkan 99 peratus daripada jumlah pengeluaran emas mentah negara melalui lima buah lombongnya.

Lombong emas Penjom di Pekan adalah yang tertua di negeri itu yang dipercayai telah dibuka  pada akhir kurun ke-14 atau 15 oleh orang-orang Siam. Namun,  kajian menunjukkan pengeluaran mineral telah berkurangan secara drastik. Pada 2003 umpamanya, hanya 4,739 kilogram emas mentah dikeluarkan daripada lombong-lombong emas negara termasuk dua di Kelantan dan sebuah di Terengganu. Persidangan Parlimen bagi Dewan Negara  pada  24 Disember 2007 diberitahu sejumlah RM15 juta dihasilkan melalui kegiatan melombong emas di Pahang.