Tun Abdullah Ayub

KUPKKM ditubuhkan untuk memperjuang dan memastikan kebajikan pesara-pesara perkhidmatan awam, polis dan tentera sentiasa mendapat perhatian yang sewajarnya.  KUPKKM juga berjuang supaya pesara-pesara kerajaan diberi pengiktirafan atas usaha dan jasa yang telah di curahkan semasa berkhidmat. Di antaranya adalah penganugerahan bintang kebesaran kepada pesara-pesara yang layak. Contohnya, perakuan KUPKKM kepada kerajaan untuk menganugerahkan bintang kebesaran Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun kepada Tun Abdullah Ayub telah dipersetujui oleh kerajaan dan di perkenan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung. KUPKKM akan terus memperjuang apa sahaja perkara yang difikirkan dapat memastikan kebajikan pesara-pesara mendapat perhatian yang sewajarnya.

 

Tun Abdullah Bin Ayub telah dilahirkan pada 3 Januari 1926 di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut dan di Anglo-Chinese School, Sitiawan, sebelum meneruskan persekolahan beliau di Sekolah King Edward VII di Taiping. Berkat dan ketekunan dan ketabahan beliau dalam pelajaran, Tun telah mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan Cambridge School Certificate dan berjaya meneruskan pengajiannya ke Raffles College dan University Malaya, Singapore. Beliau lulus Ijazah B.A (hons) dalam tahun 1953 dan telah dianugerahkan “Queen’s Scholarship” kerana pencapaian yang cemerlang.

Kerjaya Tun Abdullah dalam pentadbiran bermula apabila beliau diterima masuk sebagai Pegawai Pelatih (Probationer Of cer) Malayan Civil Service (M.C.S) pada 5 Januari 1954 dan ditempatkan sebagai Penolong Pesuruhjaya Buruh di Pejabat Buruh Selangor.

Selepas lulus Pengajian Bahasa Cina, Tun Abdullah telah ditempatkan di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebagai Setiausaha Sulit kepada Y.T.M Tunku Rahman Putra mulai Ogos 1956. Beliau telah ditukarkan pula ke Kementerian Dalam dan Keadilan untuk membantu menyediakan persiapan perayaan Hari Merdeka dan Pertabalan Yang di-Pertua Agong yang pertama pada 31 Ogos 1957. Beliau kemudian telah dihantar untuk mengikuti Kursus Pentadbiran Awam di Universiti Cambridge, England selama setahun dari tahun 1958 hingga 1959.

Sekembalinya Tun Abdullah dari England, beliau telah ditugaskan di Kementerian Buruh dan Kebajikan Masyarakat sebagai Ketua Penolong Setiausaha dan selepas itu ke Jabatan Perdana Menteri dan akhirnya ditukarkan ke Perbendaharaan pada awal tahun 1961. Tun Abdullah mempunyai kerjaya yang lama di Perbendaharaan iaitu hampir 15 tahun (1961-1972, 1974-1978). Dalam tempoh itu, beliau telah memegang beberapa jawatan penting dalam kementerian itu dan telah dinaikkan pangkat daripada Tingkatan Tertinggi H hingga Turus A. Beliau telah menjadi Ahli Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara (N.D.P.C) beberapa lama dan kemudian pengerusinya. 

Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh Tun Abdullah dalam menjalankan tugas telah membawa beliau ke jawatan-jawatan yang lebih tinggi dan penting kepada negara. Ini terbukti apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 1 Julai 1972. Selain itu, beliau juga berkhidmat di Kementerian Kewangan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan daripada Ogos 1974 hingga Disember 1978. Beliau juga telah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Kecemerlangannya sebagai seorang pentadbir mencapai kemuncaknya apabila Tun Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara untuk mengetuai Perkhidmatan Awam di negara ini pada 1 Januari 1979. Dalam itu pula, beliau telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Lembaga Letrik Negara. Sebaik sahaja bersara dari Perkhidmatan Awam pada 3 Januari 1981, Tun Abdullah terus dilantik sebagai Pengerusi Tribunal Perkhidmatan Awam. 

Jasa-jasa beliau dihargai dengan anugerah-anugerah darjah SPCM, SPMJ, DPMT, DPSK, PGDK yang diterima dari beberapa buah negeri di Malaysia dan tidak ketinggalan di peringkat persekutuan dengan Anugerah-anugerah Bintang KMN, JMN dan Darjah PSM pada tahun 1974 dan Darjah PMN pada tahun 1979, yang kedua-duanya membawa gelaran Tan Sri. Pada tahun 2011, beliau telah dikurniakan Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Sumber: Arkib Negara