Temuramah Tan Sri Alimuddin Md Dom

Tan Sri masih ingat lagi detik ketika Tan Sri mengetip kad perakam waktu buat kali terakhir sewaktu berkhidmat/sebelum pencen? Ada momen/kenangan yang tidak dapat dilupakan pada ketika itu untuk di kongsi?

Tarikh akhir saya punch out adalah pada 6 November 2010, tarik tersebut hampir dekat dengan tarikh hari lahir saya iaitu pada 7 November. Pada hari tersebut saya banyak lakukan perjumpaan dengan pegawai-pegawai di samping menyatakan rasa terima kasih saya kepada mereka kerana membantu saya di dalam merealisasikan hasrat untuk memastikan taraf pendidikan di negara kita meningkat. Saya juga lakukan penyerahan tugas dan yang paling penting, saya bersyukur kerana dipanjangkan umur sehingga mampu sampai ke tarikh persaraan di sektor awam ini.

 

Sudah hampir lebih 3 tahun Tan Sri bersara, bagaimana rasa memasuki alam pencen? Selain berkhidmat dengan Yayasan Guru, apa lagi aktiviti harian Tan Sri? Mungkin bersukan, hobi Tan Sri bagi memenuhi masa lapang?

Pada saya, pencen bukan bererti tamat segala-galanya, bahkan kita dituntut untuk memberi sumbangan kembali kepada masyarakat di dalam bentuk yang kita mampu. Selepas bersara, saya kini masih lagi memegang beberapa jawatan seperti menjadi Pengerusi Yayasan Guru dan juga turut menjadi ahli lembaga untuk beberapa IPTS. Selain itu, aktiviti harian saya seperti biasa, membuat senaman ringan untuk kecergasan dan kesihatan diri. Sebelah malam saya selalu habiskan masa ke masjid dan juga bersama keluarga apabila ada masa lapang.   

Bagaimana pendapat Tan Sri mengenai anggapan sesetengah pihak bahawa bila mereka sudah tidak lagi berkhidmat (pencen) maka sumbangan mereka terhadap masyarakat juga sudah tidak diperlukan lagi/telah berhenti?

Ini merupakan satu kerugian tidak hanya kepada diri pesara, tetapi juga kepada negara. Dengan kelebihan pengalaman yang dikutip semasa berkhidmat, pesara-pesara ini mampu memberi sumbangan kembali kepada masyarakat. Guru, polis, tentera dan semua penjawat awam mampu untuk memberi sumbangan kembali kepada komuniti. Mereka juga mampu untuk menggerakkan persatuan di kawasan mereka dan seterusnya memberi sumbangan berharga kepada masyrakat. Sebagai contoh, guru bersara boleh membantu dengan mengadakan khidmat tuisyen kepada para pelajar. 

Dari segi Yayasan Guru pula, apakah peranan Yayasan Guru di dalam membantu pesara terutama yang melibatkan golongan pendidik?

Yayasan Guru telah lebih 16 tahun ditubuhkan di mana objektifnya adalah untuk memberi kebajikan kepada ahli-ahlinya. Tumpuan kebajikan tidak hanya tertumpu pada ahli yang masih berkhidmat, tetapi juga kepada ahli yang bersara. Sumbangan dari Yayasan Guru diharap sekurang-kurangnya mampu untuk mengurangkan beban kepada para pesara. 

Dalam Bajet 2013 yang lalu, golongan pesara juga turut menerima kenaikan pencen minima kepada RM 820 dan pengurangan kadar cas pasport. Apa pandangan Tan Sri mengenai usaha berterusan kerajaan di dalam mengurangkan bebanan pesara?

Sejak (Dato’ Seri) Najib menjadi Perdana Menteri, beliau telah datang dengan gagasan 1Malaysia di mana Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Jelas di sini bahawa kerajaan mengambil kira kesemua peringkat, termasuk pesara, apa sahaja yang boleh kerajaan bantu untuk memberi kemudahan kepada mereka. Ini dapat dilihat kepada kenaikan pencen sebagai contoh. Ini juga menunjukkan rasa terima kasih kerajaan kepada pesara. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sesetengah pesara yang memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupan mereka. Di harapkan dengan bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu mereka.  

Jikalau kita lihat di Malaysia ini terdapat pelbagai jenis persatuan yang berbeza untuk pesara. Pada pandangan Tan Sri, perlukah kita wujudkan satu organisasi khas untuk menyatukan semua pesara di bawah satu bumbung?

Memang tidak dinafikan banyak kelemahan sekiranya ada banyak persatuan, tetapi tetap juga ada kebaikan. Persatuan-persatuan ini pula ada yang berbentuk kebangsaan di mana skop mereka lebih luas. Ada juga yang berbentuk negeri dan ruang mereka mungkin terhad, hanya berkisar di negeri terbabit. Bahkan ada juga yang berbentuk daerah, di mana skop mereka lagi kecil. Tetapi semua ini bukan suatu halangan untuk pesara-pesara melibatkan diri di dalam berpersatuan. Apa yang penting, ialah, mereka melibatkan diri secara langsung di dalam mengerakkan persatuan tersebut dan menyumbang kepada komuniti. 

Kata-kata terakhir Tan Sri? Apakah saranan Tan Sri kepada semua pesara dan juga bakal pesara di luar sana?

Kepada semua pesara, teruskan memberi sumbangan kepada masyarakat dan juga negara. Tidak ada sebab mengapa kita perlu berdiam dan tidak aktif dalam menyumbang tenaga kita kepada pembangunan negara. Kepada bakal pesara, persiapan awal amat diperlukan, seawal lima tahun sebelum bersara. Buat perancangan teliti terutama yang melibatkan kewangan dan komitmen lain seperti perancangan untuk mendapatkan pekerjaan baru. Ada juga yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan, apa sekalipun yang dipilih, pastikan apa yang kita lakukan itu mampu untuk memberi sumbangan kepada agama, negara dan komuniti setempat kita.