Program Bual Bicara Strategik Ke Arah Pemantapan Peranan Pesara Guru Dalam Penyatuan Umat Islam

Pihak Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dengan kerjasama Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri telah menganjurkan satu program ilmiah yang bertajuk Program Bual Bicara Strategik Ke Arah Pemantapan Peranan Pesara Guru Dalam Penyatuan Umat Islam. 

Program ini telah dijalankan di empat buah negeri iaitu Perak (8 Disember 2102), Kedah (22 Disember 2012), Johor (20 Januari 2013) dan Kelantan (10 Mac 2013). Program yang bermula pada pukul 8.30 pagi dan tamat pada pukul 1.30 tengah hari ini, disasarkan kepada kumpulan pesara guru dan juga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dengan harapan mereka dapat terus menyumbang kepada penyatuan ummah dan pembangunan negara. Antara lain, program ini juga diharap dapat menyambung silaturahim antara mereka yang sudah terputus semenjak bersara. 

Slot program dipenuhi dengan sesi ceramah, forum dan soal jawab di mana ahli panel terdiri daripada AJK Majlis Perundingan Melayu, pemimpin –pemimpin institusi pendidikan, tokoh di kalangan pesara guru dan  ahli lembaga pemegang amanah YGMB.

Di dalam slot-slot program tersebut, golongan sasar diberikan maklumat yang tepat mengenai hala tuju kerajaan dan memastikan mereka sentiasa menyokong kerajaan. Biarpun mereka sudah tidak lagi berkhidmat, maklumat yang tepat berkaitan kerajaan ini amat penting supaya mereka tidak mudah dipengaruhi oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menentang kerajaan. Melalui program ini juga, golongan sasar diharap dapat menangkis tanggapan bahawa mereka merupakan golongan yang terpinggir. Sebenarnya mereka tetap penting dan aset dalam agenda pembangunan negara.

YGMB dengan sepenuh komitmen berusaha mendapatkan seramai mungkin pesara guru untuk memastikan program tersebut mencapai sasaran seperti yang telah dirancang. Program ini akan dilanjutkan ke negeri-negeri lain iaitu Putrajaya dan Pahang dalam masa yang terdekat.