Mesyuarat Agung Pertama Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia telah berlangsung pada 19 Februari 2010 di Sime Darby Convention Centre. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan dari YBhg Tan Sri (Dr) Aseh Haji Che Mat. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pesara-pesara kanan kerajaan merupakan golongan yang berilmu dan berpengalaman, jadi seharusnya mereka menggunakannya bagi memberi sumbangan kepada rakyat dan negara. Mesyuarat juga telah melantik Ahli Jawatankuasa sesi 2010-2013, Juruaudit serta Pemegang Amanah. Mesyuarat telah dihadiri 140 orang ahli kelab.
KUPKKM ditubuhkan untuk memperjuang dan memastikan kebajikan pesara-pesara perkhidmatan awam, polis dan tentera sentiasa mendapat perhatian yang sewajarnya. KUPKKM juga berjuang supaya pesara-pesara kerajaan diberi pengiktirafan atas usaha dan jasa yang telah di curahkan semasa berkhidmat. Di antaranya adalah penganugerahan bintang kebesaran kepada pesara-pesara yang layak. Contohnya, perakuan KUPKKM kepada kerajaan untuk menganugerahkan bintang kebesaran Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun kepada Tun Abdullah Ayub telah dipersetujui oleh kerajaan dan di perkenan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung. KUPKKM akan terus memperjuang apa sahaja perkara yang difikirkan dapat memastikan kebajikan pesara-pesara mendapat perhatian yang sewajarnya.
Sempena Pembentangan Bajet 2013 yang lalu, Y.A.B Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak telah mengumumkan kenaikan pencen minimum kepada pesara. Hadiah ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat akan kebajikan pesara-pesara kerajaan.